Revolusi Israel?
TEL AVIV - Sekurang-kurangnya 250,000 penduduk Israel berarak di seluruh negara, kelmarin bagi menuntut penurunan kos sara hidup dalam demonstrasi besar-besaran yang dilihat semakin buruk dan dianggap menyerupai revolusi Arab di beberapa negara Timur Tengah yang berlaku pada awal tahun ini.
Menurut polis, penduduk di Tel Aviv, Baitulmaqdis dan bandar-bandar lain di seluruh Israel menyertai protes itu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung dasar ekonomi negara.
Sejak tiga minggu lalu, protes di negara dengan penduduk seramai 7.7 juta itu semakin berkembang, bermula dengan sekumpulan pelajar universiti mendirikan khemah di Tel Aviv sebelum bertukar kepada gerakan besar-besaran disertai rakyat kelas pertengahan negara itu.
Dasar ekonomi membebankan diguna pakai Israel menyebabkan jurang pendapatan negara yang tinggi antara kelas atasan dan pertengahan serta peningkatan harga rumah melampau.
Pentadbiran Israel dilihat mula gerun dengan kebangkitan rakyatnya dan cuba menenangkan keadaan dengan berjanji mengambil langkah menurunkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan merancang membentuk kumpulan khas dalam Kabinet bagi membincangkan tuntutan penunjuk perasaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan