Nasruddin Hassan
SHAH ALAM - Peserta Kempen Bebas Anwar 901, diminta tidak menimbulkan provokasi bagi mencapai tujuan asal perhimpunan.
 
Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hasan berkata, arahan termasuk tidak membawa senjata telah dimaklumkan kepada semua ahli.
 
“Kita telah jelaskan kepada mereka mengenai tujuan asal perhimpunan ini yang antaranya sebagai tanda kekesalan rakyat terhadap kepincangan sistem sedia ada. Kita bukan mempersoalkan keputusan mahkamah,” katanya.
 
Beliau berkata, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijatuhkan hukuman teruk oleh semua media milik kerajaan, sebelum kesnya­ itu diputuskan oleh mahkamah.
 
“Kesnya tersebar de­ngan meluas sedangkan belum pasti sama ada, beliau bersalah atau tidak. Beliau telah dihukum de­ngan teruk sebelum menerima keputusan sebenar.
 
“Kita mengadakan perhimpunan ini untuk membuka mata kerajaan. Kita tidak perlu panik dengan perhimpunan begini kerana telah berpengalaman mengendalikan perhimpunan seperti Bersih 2.0 lalu,” katanya.
 
Menurut Nasruddin, sekiranya tercetusnya provokasi ketika perhimpunan itu, beliau percaya ia bukan dicetuskan oleh penyokong, sebaliknya dilakukan pihak luar yang berniat menimbulkan kekecohan.
 
Ditanya jumlah Pemu­da Pas yang akan turut serta pada perhimpunan itu, katanya, beliau yakin ramai yang akan menyertai kempen itu.
 
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, beliau akan hadir bagi memberi sokongan pada kempen itu.
 
“Kita telah maklumkan semua ahli supaya hadir memberi sokongan padu terhadap kempen itu. Kita mahu perhimpunan ini berjalan dengan aman tanpa sebarang kekacauan dan provokasi,” katanya.