Pas kecewa tindakan polis
SHAH ALAM – Pemuda Pas kecewa tindakan polis menahan sekumpulan mahasiswa sehingga menyebabkan kecederaan kepada sebilangan penuntut, termasuk Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang Talib.
Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan berkata, tindakan polis terhadap kumpulan berkenaan yang berhimpun menyuarakan isi hati kepada pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) tak sepatutnya berlaku.
“Adakah polis menguji kesabaran anak muda kita? Kami doakan Safwan kembali pulih. Kami harap polis bebaskan semua ditahan dalam kejadian itu,” katanya.
Dalam insiden jam 2 pagi itu, polis menahan 55 mahasiswa setelah arahan polis supaya bersurai selepas 15 minit tidak dipatuhi. Sehingga pagi, 17 lagi penuntut ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim, Perak.
Nasrudin berkata, tindakan polis sehingga mencetuskan insiden itu seharusnya disiasat bagi membolehkan tindakan diambil.
“Jika tidak, mungkin berlaku satu lagi himpunan besar penuntut agar rakan mereka dibebaskan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan polis jauh berbeza dengan tindakan ketika menyuraikan demonstrasi mahasiswa yang berarak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, 17 Disember lalu.
Perhimpunan itu sekadar mendesak Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 dimansuhkan dan Upsi menarik balik tindakan terhadap Adam Adli Abdul Halim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan