Datuk Husam Musa
SHAH ALAM - Pas sentiasa terbuka untuk mengadakan sesi dialog bukan sahaja dengan Umno, malah dengan mana-mana komponen parti Barisan Nasional (BN).
 
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.
 
"Kami terbuka dan setuju sangat dengan dialog ini. Cuma sekarang yang tinggal, Umno boleh berdialog atau tidak?
 
"Jika mahu lakukan, perkara ini (dialog) tidak perlu tertutup sangat. Tidak perlu sembunyi-sembunyi sebab banyak benda akan disalahtafsirkan. Dunia kita sekarang dunia yang telus. Semua isu nasional telah diketahui rakyat. Saya tiada masalah jika untuk berdialog," katanya kepada Sinar Harian Online.
 
Bagaimanapun, Husam menegaskan, mengadakan sesi dialog dan melakukan perundingan perpaduan antara Pas dan Umno adalah dua perkara berbeza.
 
Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersetuju dengan cadangan seorang bekas pemimpin tertinggi PAS supaya kedua-dua parti berdialog untuk kebaikan negara.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ketika menjawab soalan peserta Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global Selasa lalu berkata, isu cadangan perbincangan antara Umno dan parti Islam itu bukan mengenai pembentukan sebuah pakatan tetapi hanya sebagai saling interaksi demi kebaikan negara.

Zahid berkata, Umno mungkin bersetuju menyertai dialog itu sekiranya perbincangan berkenaan lebih menjurus kepada membentuk perpaduan umat Islam di negara ini.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, ia merupakan cadangan yang baik demi perpaduan ummah dan kepentingan menegakkan perjuangan syiar Islam di negara ini.