Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas menyelar tindakan pihak tertentu yang masih menyerang keperibadian Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau berpendapat apa diperkatakan Anwar ketika ditemubual stesen televisyen antarabangsa berlainan laporan akhbar tempatan.
"Anwar sebut benda lain, tetapi akhbar kita tidak serik-serik tuduh benda lain. Sudahkan kes liwat bertahun-tahun musnah dalam sekelip mata.
"Jika hendak berpolitik mesti serang dasar bukan peribadi manusia, serang manusia itu mengumpat," katanya selepas menerima rombongan delegasi China di pejabatnya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan temu bual wartawan BBC, baru-baru ini bersama Anwar yang mempertikaikan undang-undang bersifat diskriminasi terhadap golongan homoseksual di negara ini.
Sambil menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai lapuk, Penasihat PKR itu dilaporkan berkata, ia tidak boleh diterima sebagai relevan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan BBC mengenai sokongan diterima beliau daripada gay seluruh dunia berikutan pembebasannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 9 Januari lalu.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, terpulang kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali mengenai rancangannya untuk mengadakan ceramah seluruh negara.
"Beliau sudah dipecat dari Pas. Ikut dialah. Kes sudah tamat. Pedulikanlah beliau hendak buat apa pun," katanya.
Menteri Besar Kelantan itu turut mengucapkan tahniah kepada Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.