PRU: Mat Sabu dakwa Pakatan dapat sokongan orang BN
ALOR SETAR - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendakwa mendapat sokongan pelbagai pihak dari Barisan Nasional (BN) untuk memastikan Pakatan Rakyat (PR) boleh menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, bekas menteri dan menteri yang sedang berkhidmat ada bertemu dengannya dan menawarkan sokongan untuk sama-sama menjayakan matlamat tersebut.
"Pegawai kerajaan dan bekas pegawai termasuk polis dan tentera turut menyuarakan sokongan dan sedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa.
"Mereka kata biarlah kami berjuang dari dalam untuk menumbangkan BN dari dalam," katanya ketika berucap pada Konvensyen PR Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di sini pagi ini.
Sehubungan itu, katanya, semua ahli PR perlu menggiatkan usaha dan menjadikan konvensyen ini sebagai pecutan terakhir untuk mendapat kejayaan dalam PRU13.
Menurutnya, PR wajar diberi peluang menduduki Putrajaya bagi memastikan pembaharuan yang dirancang dapat dilakukan untuk membela nasib rakyat.
Beliau berkata, banyak tuntutan rakyat tidak dapat dipenuhi oleh BN dan hanya PR yang mampu direalisasikan segala keperluan mereka.
“Sampai sekarang kita tidak dapat menikmati kebebasan media kerana dikuasai oleh kerajaan sedia ada.
“Oleh itu, media alternatif dan akhbar yang dimiliki parti gabungan PR perlu memainkan peranan penting menyebarkan maklumat untuk rakyat jelata sebagai saingan kepada akhbar arus perdana masa kini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan