pakistan
[TERKINI, 12.45 PAGI]ISLAMABAD - Sebuah pesawat komersial yang membawa 131 orang terhempas di Rawalpindi - beberapa minit sebelum ia mendarat di lapangan terbang Islamabad manakala kesemua  penumpang dan anak kapal dikhuatiri terbunuh.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan mengesahkan nahas udara ini, yang dilaporkan paling buruk selepas tragedi dua tahun lalu.
Cuaca buruk dipercayai menjadi punca nahas.
"Cuaca sangat buruk tetapi tidak boleh mengesahkan apa punca sebenar nahas udara ini," kata Jaser Abro, jurucakap syarikat penerbangan pesawat.
Seorang sumber lapangan terbang berkata, pesawat itu sepatutnya mendarat pada jam 6.50 petang (9.30 malam waktu Malaysia), tetapi terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 6.40 petang dan terhempas sebelum tiba landasan.
Pesawat itu berusia 27 tahun dan menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian menyediakan perkhidmatan lagi.
Daripada 131 orang yang berada dalam pesawat itu, 116 orang merupakan penumpang.
Menteri Pertahanan Pakistan, Chaudhry Ahmed Mukhar berkata, berdasarkan keadaan badan pesawat, tidak mungkin ada mangsa yang terselamat.

Ada laporan mengatakan pesawat itu dinaiki 118 penumpang dan sembilan anak kapal.

Pesawat itu terhempas berhampiran pangkalan udara Chaklala, yang digunakan oleh Tentera Udara Pakistan dan terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto di Islamabad.

Serpihan pesawat bertaburan di kawasan kejadian, sekali gus menandakan tidak mungkin ada mangsa yang terselamat.

Lokasi pesawat terhempas juga merupakan kawasan penempatan yang padat penduduk.
Pesawat Boeing 737 milik Bhoja Airline itu dalam perjalanan dari Karachi ke Islamabad, biasanya memakan masa tiga setengah jam. Ia terhempas lima batu nautika dari lapangan terbang ketika bersiap sedia untuk mendarat, lapor GEO-TV Pakistan.
Pada 2010, seramai 152 orang terbunuh apabila sebuah pesawat penumpang Pakistan terhempas di pinggir bandar raya Islamabad.
Pesawat itu juga menuju ke Islamabad dari Karachi.

Enam tahun lalu, sebuah pesawat Penerbangan Antarabangsa Pakistan terhempas berhampiran Multan, menyebabkan 45 orang terbunuh.