SYRIA - Kerajaan Syria akhirnya telah bersetuju untuk melaksanakan pelan damai enam matlamat bermula pada 10 April ini bagi mengakhiri pergolakan di negara tersebut.

Utusan khas Liga Arab-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan berkata pelan damai itu ditubuhkan untuk menyeru Kerajaan Syria mengistiharkan gencatan senjata, menarik balik tentera dan penggunaan senjata berat dari bandar-bandar, memberikan bantuan kemanusiaan dan sekali gus mengakhiri pergolakan di negara tersebut.

Sehingga kini, sumber laporan tempatan mengatakan masih terdapat aktiviti pertempuran dan keganasan di bandar Idlib dan Homs.

Dalam pada itu, Annan telah meminta Majlis Keselamatan PBB menyokongnya dalam menggesa Syria melaksanakan gencatan senjata penuh dalam tempoh 48 jam.

Menurut diplomat Kerajaan Syria, pihaknya telah menerima pelan damai pada minggu lepas, namun setakat ini tidak ada tanda Presiden Bashar al-Assad dan tenteranya akan menepati janji mereka mengenai pelaksanaan gencatan senajata tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat tertutup Majlis Keselamatan  PBB, Duta Amerika Syarikat, Susan Rice berkata, pihaknya menjangka Presiden Syria tidak akan melaksanakan janjinya.

"Kita telah melihat Presiden mungkir janji sebelum ini dan kali ini mungkin Presiden itu akan mengingkar janjinya lagi. Berdasarkan pengalaman yang lepas pihak kami berasa ragu bahawa Syria akan melaksanakan pelan perdamaian Kofi Annan," katanya.

Bagaimanapun Duta Syria ke PBB, Bashar Ja'fari mengesahkan kepada pemberita bahawa Damsyik telah menerima pelan tersebut dan akan melaksanakannya selewat-lewatnya pada 10 April dan beliau turut menyeru Annan supaya mendapatkan komitmen yang sama daripada pembangkang.

Pada Ahad lalu, satu kumpulan yang terdiri daripada 83 negara bangkit menyokong perubahan politik di Syria  dan memberi amaran kepada Bashar bahawa beliau mempunyai sedikit masa untuk mematuhi pelan perdamaian Annan.

Negara-negara Teluk Arab yang menghadiri mesyuarat kumpulan di Istanbul bersetuju untuk membayar gaji dan kos-kos lain bagi Tentera Bebas Syria (FSA) melalui Majlis Kebangsaan pembangkang Syria.

Menurut wakil daripada Jawatankuasa Penyelarasan Tempatan, seramai 65 orang terbunuh semalam dan angka tersebut meliputi 40 kematian di Homs, 14 di Idlib, enam di Hama dan lima di Aleppo.