Parti: Suu Kyi cipta sejarah menang pilihan raya
YANGON - Parti pimpinan Aung San Suu Kyi mengumumkan beliau telah memenangi kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini, sekali gus membolehkan pemimpin prodemokrasi itu memegang jawatan sebagai anggota perundangan buat julung kali.
Laporan media asing dari Myanmar menyebut, jika kemenangan itu disahkan, ia satu sejarah di negara yang ditadbir oleh tentera hampir lima dekad.
Maklumat mengenai kemenangan beliau juga dipamerkan menerusi papan tanda digital di ibu pejabat Liga Kebangsaan Bagi Demokrasi di sini.
Laporan-laporan tidak rasmi menyebut Suu Kyi memperoleh 65 peratus undi di 82 daripada 129 pusat-pusat pengundian.
Sebanyak 45 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya kecil, yang diadakan ekoran wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum tahun 2010 telah menyertai kerajaan.
Parti Suu Kyi dijangka menang di 44 kerusi.
NLD berkata Suu Kyi dengan mudah telah menang di kawasan Kawhmu walaupun keputusan rasmi belum diumumkan.
NLD buat pertama kali bertanding dalam pilihan raya sejak 1990.
Parti itu mengadu wujud insiden-insiden pelanggaran peraturan semasa proses pengundian berlangsung. Pihaknya telah menulis secara rasmi kepada suruhanjaya pilihan raya mengadu mengenai penyelewengan dan penipuan pilihan raya.