All For Ummah
Dewasa ini, industri nasyid semakin dilupakan golongan muda yang lebih gemar mengikut aliran muzik semasa.
Justeru, bagi memastikan industri nasyid tidak berkubur begitu sahaja, Al Meswak Mu’min Sdn Bhd mengambil inisiatif menganjurkan Program Bintang Nasyid Mu’min (BNM) setiap tahun sejak ia di wujudkan pada 2007.

Menurut Pegawai Eksekutif Operasi, Zaihal Hazri Abdul Halim, tujuan utama penganjuran memberi edutainment iaitu hiburan dan pendidikan kepada peserta terlibat dan juga orang ramai.

“Alhamdulillah, sejak tahun pertama penganjuran, ia mendapat sambutan menggalakkan, bukan sahaja peserta terlibat, bahkan penaja sehingga ke Jabatan Pelajaran sudi memberi kerjasama.

“Jika sebelum ini kita membuka penyertaan kepada pelajar sekolah rendah, kali ini kita buka pula pada pelajar sekolah menengah.

“Insya-Allah, pihak Mu’min terfikir membuat pertandingan secara terbuka di mana semua peringkat boleh menyertainya tahun depan,” katanya yang ditemui selepas selesai Pertandingan Bintang Nasyid Mukmin peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di SACC Mall, Shah Alam, Ahad lalu.

Zaihal berkata, pada pertandingan tahun ini, peserta terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 13 hingga 18 tahun terdiri daripada pelajar sekolah menengah.

“Seperti musim lalu, BNM 2012 akan mengembara ke seluruh pelosok Semenanjung Malaysia bagi memilih dan mencari kumpulan nasyid terbaik yang akan dicungkil dan diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

“Program ini turut memberi peluang lebih 150 kumpulan di seluruh negara menyertainya di beberapa lokasi terpilih,” katanya.

Selepas ini, Mu’min akan bergerak ke Green Town Mall, Ipoh pada 7 April, Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (21 April); Giant Alor Setar (5 Mei); C Mart, Perlis (19 Mei) dan KB Mall, Kota Baru (16 Jun).

“Selain itu kita juga turut mengadakan sesi saringan di Mydin Mall Kuala Terengganu (30 Jun) dan East Coast Mall, Kuantan (7 Julai),” katanya yang menjangkakan pertandingan peringkat akhir akan diadakan September ini.


'All For Ummah' juara Selangor
 
Sementara itu, kumpulan All For Ummah dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) menjuarai pertandingan Bintang Nasyid Mukmin peringkat Selangor.

All For Ummah yang diketuai oleh Wan Mohamad Fauzan Wan Mohamad Taarmizi ini telah mempertaruhkan lagu, Kelahiran Agung dan kemenangan ini telah melayakkan mereka ke pertandingan peringkat kebangsaan nanti.

Bagi guru pengiring sekolah terbabit, Zakiah Othman berkata, dia optimis pelajarnya mendapat tempat dalam pertandingan itu biarpun bukan di tempat pertama.

Katanya, pelajar terlibat pertandingan, terutama Fauzan, sudah biasa menyertai pertandingan dan mereka berusaha keras termasuk berlatih hingga jam 2 pagi.

Bagi ketua juri pertandingan ini, A Ali, pemilihan juara berdasarkan vokal solo dan gandingan suara berkumpulan yang harmoni.

Selain juara, All For Ummah, turut membawa pulang hadiah Vokal Terbaik, manakala kumpulan Khaleefah dari Sekolah Menengah Tuanlu Ampuan Rahimah, muncul pemenang kedua.

Kumpulan An-Nahwan dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu di tempat ketiga dan turut membawa pulang hadiah bagi Persembahan Terbaik.

Bagi peringkat negeri, juara membawa pulang wang tunai RM700, hadiah iringan dari Mu’min, sijil penyertaan, Akaun Simpanan Pelajar bernilai RM200 setiap seorang sumbangan Bank Rakyat cawangan Seksyen 23, Shah Alam.

Manakala pemenang tempat kedua pula akan menerima wang tunai RM500, hadiah iringan dari Mu’min dan sijil penyertaan. Tempat ketika akan menerima wang tunai RM300, hadiah iringan dan sijil.

Bagi peringkat kebangsaan pula, juara akan menerima hadiah RM3,000, hadiah iringan dan juga sijil.