KUALA LUMPUR - Pas menubuhkan Jawatankuasa Anti Pemansuhan IC (Api) bagi menangani isu warga asing yang didakwa diberikan kerakyatan untuk membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa itu akan menuntut suruhanjaya diraja bagi menyiasat kewujudan ‘task force’ pemberian kerakyatan kepada warga asing yang didakwa beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Isnin ini ahli jawatankuasa akan bermesyuarat bagi mengatur pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menghantar memorandum menuntut (diadakan satu) suruhanjaya diraja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Api berkata, jawatankuasa itu juga akan menyaring maklumat peribadi warga asing yang diberikan MyKad.

“Kita mempunyai banyak maklumat warga asing ini. Oleh itu kita perlu menyaring maklumat-maklumat ini sebagai pembuktian wujudnya ‘task force’ ini.

“Kita akan bekerjasama dengan suruhanjaya diraja bagi menyiasat ‘task force’ ini,” katanya.

Api turut dianggotai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hatta Ramli, Exco Pemuda Pas, Suhaizan Kaiyat dan peguam Zul Hazmi Shariff.

Menurut Mahfuz, penubuhan jawatankuasa itu telah mendapat persetujuan bersama selepas mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat, kelmarin.

Sementara itu, Hatta yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, berkata, isu warga asing yang diberi kerakyatan adalah pengkhianatan kepada negara dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas mengingatkan seluruh rakyat bahawa negata mempunyai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kian khianat terhadap masa depan negara.
"Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah 'task force' khas yang diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN merupakan suatu malapetaka bagi negara," kata beliau dalam satu kenyataan media.
Tuan Ibrahim berkata, tindakan terdesak ini jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.
"Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini?
"Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini," katanya lagi.
Sehubungan itu kata beliau, Pas akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini.
"Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena," katanya lagi.