Raja Nazrin kecewa bukan Islam main api agama
IPOH - Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah kecewa kerana garis sempadan menyentuh agama Islam mula dilanggar malah ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan aqidah umat Islam.
Baginda mahu supaya perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka ini dihentikan dan dicegah secara tegas kerana ia boleh mencetuskan tragedi buruk dalam negara.
"Bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri, kelak nanti terhangus negeri," titah baginda semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Menurut baginda perkara menyentuh syariat dan aqidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam terutama bagi menasihati umat Islam, kini dipersoalkan dan diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.
"Perbuatan tersebut nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain, tidak mencampuri urusan agama lain adalah merupakan tatasusila yang wajib dipatuhi," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah perkara utama mengenai Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah sebaliknya ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan lain yang berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar peruntukan itu tidak dimanipulasi hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.
"Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain, tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam," titah baginda.
Baginda bertitah majoriti umat Islam di negara ini dididik untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan.
"Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri daripada membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain," titah baginda.
Menurut Raja Nazrin walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan namun agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di negara ini.
"Perkataan-perkataan agama Persekutuan, aman dan damai adalah tiga kata kunci yang wajib dijadikan kompas panduan dalam budaya beragama di negara ini," titah baginda.
Baginda bertitah pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum dan kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak, keistimewaan, kuasa prerogatif raja-raja.
"Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini," titah baginda.
Raja Nazrin juga meminta ulama dan pentadbir kerajaan negeri Perak supaya mentafsir senario semasa ekonomi dan politik secara bijaksana sama ada di peringkat dunia, serantau dan negara.
"Keupayaan mentafsir secara tepat senario-senario yang sedang berlaku akan mengupayakan barisan ulama dan barisan umara yang diamanahkan mentadbir urus Kerajaan Beta melaksanakan langkah-langkah strategik, memajukan sumber negeri secara optimum, mengurangkan pembaziran demi kelestarian pembangunan demi kesejahteraan warga," titah baginda.
Baginda bertitah dasar yang betul dan baik, penggunaan sumber yang bijak, modal insan berkualiti dan pimpinan yang amanah, ikhlas, jujur dan berwawasan adalah merupakan ramuan penting resipi kejayaan negeri.
Mengenai pelaburan asing ke Perak, Raja Nazrin bertitah pemindahan teknologi tinggi, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan di peringkat tenaga mahir dan profesional, tidak berintensif buruh yang bergantung pada buruh asing, tahap piawai keselamatan yang tinggi, sifar pencemaran dan tidak sekadar mahu mengambil kesempatan daripada tarif kuasa yang bersubsidi, merupakan kriteria yang wajib dihalusi pentadbir ketika menimbang kelulusan.
"Kerajaan Beta jangan sama sekali mengizinkan negeri ini menjadi pilihan terakhir pelabur, dianggap tempat buangan atau 'dumping ground' setelah sesuatu hasrat pelaburan itu tidak diterima di tempat lain. Kepentingan jangka panjang rakyat Beta dan kelangsungan kelestarian negeri ini, tidak harus sama sekali dikompromikan," titah baginda. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan