pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Ahad, 10 Julai 2011

KERACUNAN MAKANAN : LEBIH 70 ISTERI WAKIL RAKYAT BN

Lebih 70 isteri wakil rakyat keracunan makanan

KUALA TERENGGANU - Lebih 70 isteri wakil rakyat yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 di sini, semalam mengalami keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A. Rahman Mokhtar berkata kejadian bermula pada kira-kira 11 pagi apabila beberapa daripada mereka mengalami simptom seperti muntah dan cirit birit dan dirujuk ke klinik statik di hotel penginapan mereka di sini.

Katanya daripada lebih 70 orang yang mengalami simptom itu, seramai 18 terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Hanya 15 yang ditahan di wad kerana simptom yang dialami mereka lebih serius namun keadaan mereka stabil dan tidak membimbangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat para isteri wakil rakyat berkenaan di HSNZ di sini hari ini.

Katanya punca kejadian masih disiasat namun beliau tidak menolak ia mungkin berpunca daripada makanan yang dihidangkan dalam satu majlis makan malam sebelum itu.

"Semua sampel makanan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut, katanya.

Sementara itu, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Selangor, Datin Norliah Mohd Nazir ketika ditemui di HSNZ memberitahu beliau mengalami muntah-muntah selepas majlis makan malam yang dihadiri bersama isteri wakil rakyat lain.

"Selepas muntah-muntah saya cuba dapatkan rawatan di Klinik Statik di Hotel Permai tapi keadaan saya tidak bertambah baik dan saya dihantar ke sini (HSNZ) untuk dapatkan rawatan lanjut," katanya.

Namun katanya, beliau menganggap peristiwa tersebut sebagai insiden tidak dijangka dan tidak menyalahkan pihak penganjur atas kejadian tersebut. - BERNAMA

NIK AZIZ SEDIH PEMIMPIN PR DITAHAN

Nik Aziz sedih pemimpin PR ditahan

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas sedih dengan penahanan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang kerana menyertai perhimpunan Bersih sambil menggesa mereka dibebaskan segera. 

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, penahanan yang dibuat terhadap mereka yang menyertai perhimpunan itu akan menambahkan kebencian rakyat kepada UMNO. 

“Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap polis. 

“Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui alat kawalan jauhnya dipegang Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga Presiden UMNO. 

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan dari Makkah, semalam. 

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai Presiden Pas dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu serta beberapa pimpinan tertinggi Pas dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus yang ditangkap polis kerana menyertai Bersih semalam ketika berada di Tanah Suci. 

Katanya, beliau akan meninggalkan Tanah Suci berkenaan selepas solat Asar dan bertawaf wida’. 

Menteri Besar Kelantan itu turut mempertikaikan perhimpunan itu kerana Datuk Seri Najib Tun Razak baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa sebarang halangan tetapi Bersih pula dihalang. 

“Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini (Bersih) hanya untuk mengumpulkan 300,000 orang dibalas dengan gari dan semburan gas. 

“Saya yakin, apa yang berlaku hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja,” katanya. 

Nik Abdul Aziz turut menyatakan keyakinan perjuangan menuntut keadilan itu pasti akan berjaya kerana UMNO pasti akan jatuh akhirnya kerana tentangan dan penindasan itu hanya tanda perjuangan keadilan akan berjaya. 

“Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan,” katanya.

TIDAK PERLU BERHENTI : MP PAKATAN RAKYAT



Bersih tidak perlu berhenti: Ahli Parlimen 

KUALA LUMPUR – Bantahan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 disaran tidak dihentikan selepas perhimpunan semalam.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, bantahan sebegini perlu diteruskan selagi agensi sepatutnya tidak mengamalkan pilihan raya bersih dan adil.

“Bersih wajar dilaksanakan selagi pembangkang tidak dilayan sama seperti yang diperoleh kerajaan, bukannya dinafikan,” katanya semalam. Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kerajaan perlu juga mendengar suara hati yang dibangkitkan rakyat dan Pakatan Rakyat.

“Kami bukannya penjenayah yang dilayan dengan kerasnya, sedangkan hanya melakukan perhimpunan aman.

“Kami hanya berjalan, tetapi dihalang menggunakan gas pemedih mata. Saya percaya lebih ramai pimpinan akan ditangkap dalam masa terdekat,” katanya.

BERSIH 2.0 : BERJAYA - DATUK A. SAMAD SAID

Himpunan Bersih 2.0 berjaya

KUALA LUMPUR - Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai kejayaan besar dengan 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Menurutnya, Bersih 2.0 memperoleh lebih sokongan daripada pelbagai kaum penyokong berbanding kempen pertama pada 2007 lalu. 

“Saya tidak pernah melihat rakyat semua kaum bersatu kerana satu matlamat sebelum ini. 

“Pihak berkuasa bertindak kasar dan tidak profesional. Saya nampak wanita ditolak sampai jatuh,” katanya di Hotel Midah, semalam. 

Beliau yang turut sama pada perhimpunan itu dengan mengenakan kemeja-T berwarna kuning yang menjadi lambang Bersih 2.0. 

Samad berkata, Bersih 2.0 akan cuba menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, namun tidak pasti bila. 

Menurutnya, Bersih 2.0 tidak akan mengadakan lagi perhimpunan untuk menyerahkan memorandum. 

Salah seorang Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Richard Yeoh turut menggesa penyokong Bersih 2.0 agar mengenakan pakaian kuning setiap Sabtu bagi menandakan pendirian mereka. 

Yeoh berkata perjuangan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya masih belum berakhir.

Jumaat, 8 Julai 2011

TAZKIRAH : BIAR MISKIN HARTA JANGAN MISKIN JIWA ( 3 )

Siri 3

Ya, memiliki sesuatu, belum tentu dapat menikmatinya. Untuk minum air kosong dan nasi kosong tidak memerlukan harta yang banyak. Juga air kosong dan nasi kosong biasanya merupakan makanan si miskin yang tidak mampu memiliki. Jika Allah SWT mahu, orang yang berada di tengah kemewahanan akan hidup bagaikan si miskin di tengah kefakiran.

Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, tapi insane wajib insaf bahawa hanya Allah SWT yang menentukan segala kurniaan. Maka jangan kita sombong atas apa yang kita kelihatan memilikinya, dan janganlah kita berdukacita atas apa yang Allah tidak kurnikan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, kita tidak menyedarinya. Entah betapa banyak nikmat yang Allah SWT halang orang lain merasainya, kita sangka mereka mengecapinya.

Kita semua harus insaf bahawa pergantungan sebenar dalam kehidupan ini hanyalah kepada Allah SWT. Maka, jangan kita menjadi hina jiwa ini di hadapan orang lain hanya kerana melihat kuasa dan harta yang berada ditangannya, lalu kita sangka mereka memiliki segala- gala. Jikapun kita kurang harta dan kuasa, janganlah kita miskin jiwa.

Apa yang ingin kita buru daripada kehidupan ini adalah ketenangan jiwa dan kebahagiaan perasaan. Bukan sekadar keseronokan atau kegembiraan yang berakhir dengan tamatnya sesuatu pesta atau sorakan semata. Jika kebahagiaan dan ketenangan yang kita pilih, maka yang dapat memberinya hanya Allah SWT. Memiliki harta dan kuasa belum tentu dapat mencapainya. Maka jangan kita mengemis kepada penguasa atau si kaya dalam mencari ketenangan hidup. Merintihlah kepada Allah SWT, hanya Dia yang dapat menganugerahkan kita semua itu.

Firman Allah SWT : ( Maksudnya – “ Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki ataupun perempuan, dalam keadaan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan” ( Surah al – Nahl : ayat 97 )

Ramai orang yang kita lihat kaya harta , tetapi miskin jiwanya. Kadang – kala mereka mengampu orang lain, sehinggalah ke peringkat memualkan, hanya semata kerana dunia yang diharapkan. Apalah ertinya harta, jika kita miskin jiwa sehingga seakan menjilat orang lain. Harta dan kuasa ini amat diperlukan jika ia menjadikan kita seperti para khalifah yang soleh dan para hartawan yang bersyukur.

Mutiara kata dan Wasiat :
“ Tiada pusaka peninggalan yang lebih bermanfaat daripada elok budi pekerti ” ( Wasiat 
Saidina Ali r.a )


Akan bersambung siri terakhir nanti.

Disediakan oleh :
Pen. Setiausaha 3
Dewan Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh

Khamis, 7 Julai 2011

BERSIH 2.0 : TITAH DYMM SPB YDP AGONG

Bersih: Titah DYMM SPB YDP Agong

Dengan tersiarnya titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai ini, maka sepertimana kebiasaannya, pihak kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) cuba menafsirnya sebagai titah yang menyokong mereka dan menemplak pihak lawan.

Titah SPB YDP AGUNG diperinci
Sekiranya dilihat secara ikhlas terhadap apa yang dititahkan SPB Tuanku, ianya merupakan teguran kepada semua pihak, lebih-lebih lagi pihak kerajaan, kerana sanggup membenarkan suasana menjadi panas sehingga bagaikan tidak terkawal. 


Teguran SPB Tuanku bahawa baginda yakin Perdana Menteri “berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin” harus dilihat sebagai satu cabaran kepada Perdana Menteri (PM) untuk membuktikan kemampuan beliau. Persoalannya sekarang adakah cara ianya ditangani membuktikan kemampuan PM atau sebaliknya?


a) Mengiktiraf peranan Bersih

Cara pihak kerajaan bertindak yang mempergunakan pihak keselamatan dengan terus mengharamkan perhimpunan Bersih dan menuduhnya sebagai pembawa huru-hara, amat berbeza dengan semangat yang terkandung dalam titah SPB Tuanku yang mengiktiraf Bersih sebagai sesuatu “bagi menyuburkan demokrasi dalam Negara kita ini”. 


Pengiktirafan sebegini, yang tepat dan bebas dari unsur putar-belit politik BN, adalah apa yang perlu “untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin”. Sudah pasti sekiranya Bersih terus dituduh ‘pengkhianat, untuk mencetus huru-hara, alat kuasa asing’ dan sebagainya, tiada yang bermakna akan terhasil. 



Dengan itu, masalah ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, yang akan terhasil adalah perbalahan dan permusuhan sedangkan inilah apa yang ingin dielak.


b) Peringatan bagi Bersih

Apabila dititahkan pula bahawa “kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan Negara-negara luar secara umumnya”, ianya teguran yang dituju kepada pihak Bersih. Titah ini mengingatkan Bersih bahawa di negara luar, demonstrasi dilayani dengan baik dan hak rakyat berkumpul diiktiraf dan dihormati pihak berkuasa, tidak seperti di Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO sendiri berdemonstrasi di Greece dalam isu halangan kerajaan Greece terhadap Flotilla yang ingin ke Gaza, sedangkan Greece adalah negara yang muflis yang lebih berhak menghalang demonstrasi atas alasan ‘kemusnahan yang akan menimpa ekonomi negara’. 


Tetapi Greece yang muflis dari sudut ekonominya tidak muflis dari sudut ‘bertamadunnya’ dalam kaedah kerajaan bertindak terhadap rakyat dalam negaranya sendiri.


c) Peringatan kepada kerajaan BN

Seruan SPB Tuanku supaya kerajaan “melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana” perlu diambil berat oleh pihak kerajaan kerana apa yang mereka perlu faham ialah kuasa yang diberi adalah satu amanah. Amanah ini pula perlu diguna secara adil dan bijaksana, bukan dengan saja-saja ingin tunjuk kuasa, bertindak secara zalim, menuduh ini serta itu dan menahan orang di atas alasan gila seperti ‘kesalahan’ berbaju kuning!

Oleh yang demikian, kaedah yang digunakan kerajaan akan menghasilkan apa yang tidak ingin dilihat oleh SPB Tuanku, iaitu, seperti yang di titah Baginda, “negara bermasyarakat majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan”. Untuk mengelak dari keadaan ini berlaku, maka kerajaan diingatkan supaya bertindak secara ‘adil dan bijaksana’.

d) Kaedah penyelesaian yang tepat

Teguran “sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan”, memperlihatkan kaedah ‘adil dan bijaksana’ yang dimaksudkan SPB Tuanku. Sedangkan pendekatan kerajaan adalah sebaliknya dan tuntutan supaya pilihan raya bersih dari penipuan terus tidak dihiraukan.


Istilah ‘rundingan’ membawa erti saling hormat menghormati dan mengiktiraf kebenaran kedua-dua pihak. Sedangkan yang berlaku tidak lain dari penolakan dan penafian oleh pihak berkuasa dan penggunaan kekuasaan untuk mempertahankan kepentingan, walaupun jelas kelihatan bersalah.


e) Persoalan demonstrasi jalanan

Titah baginda bahawa “demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik” menyejukkan hati kerana mengiktiraf niat disebalik demonstrasi itu. Sememangnya tiada siapa yang ingin turun ke jalan dan berhadapan dengan FRU jikalau kerajaan perihatin dan berunding dengan baik serta menghormati hak rakyat. Demonstrasi selalunya hanya dilakukan apabila tuntutan tidak diendahkan; walaupun terbukti tuntutan itu berasas.


Dalam pada itu, perlu juga dinyatakan disini bahawa keburukan hanya terhasil apabila demonstrasi dikasari dan tidak dibenarkan berjalan dengan aman oleh pihak berkuasa. Dengan pemerintah yang sediada, ‘keburukan’ pasti terhasil oleh kerana tindakan menghalang dan provokasi sudah pasti akan dilakukan secara terbuka.

f) Sifat kesederhanaan dan tolak ansur

Titah Baginda berakhir dengan menyatakan pentingnya sifat kesederhanaan dan tolak ansur warisan pentadbiran negara dan sifat inilah yang wajar dicontohi. Sifat ‘kesederhanaan dan tolak ansur’ akan menentukan tuntutan yang berasas diterima dan dilaksanakan. 


Sifat ‘ekstrim dan keras’ akan menyebabkan amalan yang songsang dipertahankan walaupun sudah terserlah kesongsangannya.




Dipetik daripada blog Yang Dipetua Pas Shah Alam, Khalid Samad

AKTIVIS AKAN DISEKAT ISRAEL : BN ( BENJAMIN NETANYAHU )

Aktivis antarabangsa terbang ke Israel 


TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam mengarahkan pihak berkuasa rejim itu supaya menyekat kemasukan kumpulan aktivis pro-Palestin yang merancang untuk terbang ke Israel bagi mengadakan tunjuk perasaan di Tel Aviv, esok.

Netanyahu mengeluarkan arahan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Israel dan pihak imigresen untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa menimbulkan kekecohan.

Terdahulu, laman sesawang aktivis pro-Palestin meminta penyokong mereka untuk bersama-sama ke Israel bagi mengadakan bantahan terhadap dasar rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.

Demonstrasi itu juga adalah tindakan susulan selepas konvoi kemanusiaan Freedom Flotilla II ke Gaza dilarang untuk berlayar dan masih terkandas di Greece.

Kira-kira 500 aktivis antarabangsa dari seluruh Eropah dijangka tiba di Lapangan Terbang Ben-Gurion di Israel, hari ini.

Israel menempatkan ratusan anggota keselamatan di sekitar lapangan terbang itu bagi mengelakkan kekacauan dan kejadian tidak diingini jika demonstrasi tersebut diadakan.

TUNTUT JANJI KERAJAAN : PR

PR tuntut janji sedia stadium 


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya untuk menyediakan stadium kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 untuk perhimpunan Sabtu ini. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR tetap menyokong perhimpunan Bersih 2.0 walaupun Kabinet memberi pelbagai alasan supaya Stadium Merdeka tidak digunakan untuk perhimpunan tersebut. 

Menurutnya, maklumat akhir mendapati Kabinet dilihat sengaja memberi pelbagai alasan untuk tidak membenarkan stadium digunakan semasa perhimpunan tersebut. 

“Perdana Menteri perlu patuh pada jaminannya untuk menyediakan stadium supaya Bersih 2.0 dapat menganjurkan perhimpunan yang aman dan teratur. 

“Saya difahamkan Bersih 2.0 masih lagi merujuk kepada Perdana Menteri supaya mematuhi janji dan jaminan beliau untuk menyediakan stadium supaya perhimpunan tersebut dapat dijalankan dengan teratur dan aman sepertimana semangat ketika mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis PR di sini, semalam. 

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. 

Anwar berkata, PR turut kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang dilihat menyimpang daripada ‘semangat rundingan’ antara Bersih 2.0 dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. 

”Kita kesal kerana Hishammuddin menyatakan seolah-olah tidak mempedulikan rundingan dengan Yang di-Pertuan Agong (dengan menggelar Bersih 2.0) masih haram seperti Yang di-Pertuan Agong panggil kumpulan haram untuk berunding,” katanya. 

Ditanya sama ada penganjur akan memohon permit polis, Anwar berkata tidak perlu kerana Yang di-Pertuan Agong dan polis telah sedia maklum dengan perhimpunan itu. 

“Yang di-Pertuan Agong dan Najib telah maklum (perhimpunan), permit apa lagi. Apa alasan untuk batal sedangkan jaminan telah diberikan dan ia telah dipersetujui Bersih 2.0.Kita juga telah rujuk Stadium Merdeka kosong pada 9 Julai ini,” katanya. 

Beliau juga menggesa polis mengambil kira semangat perundingan tersebut supaya tidak mengeruhkan keadaan termasuk melakukan penangkapan terhadap pemimpin PR yang memakai baju kuning. 

”Malah sekarang ini, digembar-gemburkan kononnya setiap kali ada tuntutan, keris dan pisau dikeluarkan oleh ejen provokasi yang sengaja diada-adakan,” katanya yang akan mengerahkan 300,000 rakyat pada perhimpunan Sabtu ini. 

Anwar juga tidak menolak kemungkinan terdapat kumpulan lain atas nama kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) DN akan mensabotaj persefahaman yang telah dicapai. 

Ditanya cara pemimpin PR untuk pergi ke stadium berkenaan dengan kemungkinan wujudnya sekatan, Anwar dengan berkata: “Kalau boleh dengan helikopter”. 

Sementara itu, Kit Siang berkata keputusan Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan di stadium merupakan “satu restu” daripada Tuanku Mizan dan persetujuan daripada Perdana Menteri. 

“Kami berharap selepas pertemuan kelmarin, KDN dan polis mengambil inisiatif untuk mengawalselia perhimpunan itu,” katanya.

CAT MERAH : RUMAH MB MENJADI SASARAN

Rumah MB disimbah cat merah 


ALOR SETAR - Rumah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang turut menempatkan pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Sungai Limau di Yan disimbah dengan cat warna merah oleh pihak tidak bertanggung jawab dipercayai dilakukan awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, bahagian luar pagar dan lantai simen pekarangan rumah dikotori cat merah, namun tidak mengenai bahagian dinding rumah ekoran jaraknya yang agak jauh daripada kawasan pagar.

Selain rumah Azizan, beberapa rumah, kereta termasuk pejabat pusat khidmat wakil rakyat pemimpin Pas turut menerima nasib sama, dalam beberapa kejadian dipercayai dilakukan serentak malam semalam atau awal pagi.

Turut dijumpai, nota ugutan supaya tidak hadir pada perhimpunan haram Bersih 2.0 yang dibungkus dengan batu yang turut dilontar di tempat kejadian.

Mengulas kejadian itu, Azizan berkata, pihaknya membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang turut berlaku di daerah Pendang dan Kota Setar.

“Itu mungkin mainan budak-budak nakal yang tidak ada kerja atau mereka cuba cetuskan isu kontroversi dengan buat perkara seperti itu. Biarlah pihak polis siasat siapa dalang di sebaliknya kerana laporan polis sudah dibuat oleh pihak-pihak yang menjadi mangsa perbuatan itu,” katanya, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya, kejadian sama turut menimpa Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman yang mengalami kerosakan kereta akibat disimbah cat merah.

Pemimpin lain, termasuk Setiausaha Pas Kawasan Alor Setar yang juga Pembantu Khas ADUN Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh, Adnan Saad.

Rumah yang disimbah cat merah pula ialah Ketua Penerangan Pas Kuala Kedah, Ridzuan Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas Kuala Kedah, Mohd Radi Said.

Sementara itu, Pejabat Pusat Khidmat ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa di Taman Anggerik, Peremba turut disimbah cat merah dan dibaling batu.

Azizan berkata, tindakan terbabit disifatkan kurang bijak dan sekiranya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0, ianya perlu dihentikan dengan segera.

“Saya tak kata ianya ada kaitan dengan Bersih, tapi kami semua tak pula berhutang dengan ah long,” katanya berseloroh.

Azizan menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

PILIHANRAYA BERSIH DAN ADIL : TAHNIAH THAILAND

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mengucapkan ucapan syabas dan tahniah kepada rakyat Negara Thailand yang telah berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan aman serta berjaya mendapatkan hak mereka untuk memilih pemimpin mereka. 

Semua ini adalah hasil pilihanraya yang adil dan bersih yang dilaksanakan di Thailand.

Sejumlah 44 buah parti politik bertanding pada pilihanraya umum Thailand baru-baru ini yang melihatkan parti pembangang utama, Parti Pheu Thai memenangi dengan mejoriti mudah sebanyak 265 daripada 500 kerusi yang dipertandingkan.

Suruhanjaya Pilihanraya Thailand kelmarin mengistiharkan Parti Pheu Thai memenanginya yang dipimpin oleh Yingluck, adik kepada mantan Perdana Menteri Thaksin.

Sepanjang 8 minggu masa berkempen yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Thailand, rakyat Thailand telah diberikan masa yang cukup masak untuk mendapat penjelasan dan penerangan daripada parti-parti yang bertanding. 

Dengan masa berkempen yang ada juga, parti-parti di sana berkesempatan untuk turun padang dan mendalami keadaan sebenar penderitaan dan permintaan naluri sebenar rakyat Thailand.

Media yang adil dan saksama juga adalah faktor utama, bagaimana parti-parti bertanding mampu menampilkan manifesto dan cita-cita serta perancangan sekiranya mereka diberi peluang untuk memimpin Thailand.

Amat menakjubkan apabila keseluruhan 44 buah parti bertanding berpeluang untuk muncul dalam media elektronik seperti televisyen dan radio dengan masa yang sangat berketepatan. 

Media cetak yang melaporkan aktiviti dan aspirasi semua parti-parti politik yang bertanding juga adalah faktor bagaimana pilihanaraya di Thailand berjalan dengan lancar dan teratur.

Poster-poster yang agak terhad serta kempen-kempen gergasi yang dianjurkan oleh parti-parti telah menjimatkan wang rakyat dan kerajaan apabila media utamanya membantu perjalanan kempen semua parti yang bertanding. 

Jalanraya dan kehidupan seharian berjalan seperti biasa telah menyuburkan proses demokrasi dimana rakyat tidak perlu meluangkan terlampau banyak masa untuk pilihanraya.

Pihak keselamatan Thailand yang membantu mengurus tadbir perjalanan kempen parti-parti tanpa berpihak dan adil telah menambahkan lagi keyakinan rakyat dan dunia akan perjalanaan pilihanraya mereka. 

Semua faktor ini adalah diantara yang diidamkan oleh rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan keadilan.



Raja Ahmad Al-Hiss
Naib Ketua / Pengerusi, Lajnah Antarabangsa,
Dewan Pemuda Pas Malaysia.

Rabu, 6 Julai 2011

TAZKIRAH : BIAR MISKIN HARTA JANGAN MISKIN JIWA ( 2 )

Siri 2 :

Menceritakan :

Teringatkan satu ceramah Prof. Dr. Hamka r.h dalam satu rakaman. Beliau menceritakan bagaimana suatu hari ketika beliau menaiki kenderaan mewah dengan seorang kaya melalui sawah padi, tiba - tiba melihat seorang petani yang berehat dari kepenatan bekerja, sambil isterinya menghidangkan makan tengahari. Walaupun hidangan itu amat biasa sahaja, tetapi dimakan oleh petani tadi dengan penuh selera. Lalu orang kaya yang bersama Buya Hamka berkata: " Buya, saya ada rumah besar dan kenderaan mewah, tetapi tidak pernah berpeluang makan begitu berselera seperti petani itu."

Ya! Demikianlah Allah membahagi- bahagikan nikmat-Nya. Sesiapa yang diberikan makanan yang hebat, belum tentu dapat menikmati keenakkan itu di lidahnya. Sesiapa yang diberikan tempat tinggal yang mewah, belum tentu dikurniakan kenikmatan tinggal di dalamnya. Maka, tidak hairan jika ada orang kaya, atau yang berkuasa kurang selera makan. Atau tidak hairanlah jika ada anak si kaya yang lari meninggalkan rumah mewah bapanya. Janganlah pula hairan, jika ada orang miskin yang setiap hari menikmati suapan yang masuk ke dalam mulutnya, dan nyenyak tidurnya. Janganlah hairan jika ada perasaan yang lebih tenang di pondok usang dari banglo yang tersergam.

Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, namun insan hendaklah tahu bersyukur atas segala kurniaan Allah SWT kepadanya. Yang miskin dan yang kaya hendaklah insaf bahawa tujuan daripada makanan dan tempat tinggal yang mewah itu adalah kesedapan dan keselesaan. Bukan semua yang memiliki kemewahan itu pula akan menikmatinya. Juga bukan semua tidak memilikinya, akan terhalang mengecapi kenikmatannya. Maha Besar Allah SWT yang membahagi - bahagikan kurniaan- Nya mengikut kehendak - Nya.

Kadang - kala apabila kita duduk di meja makan bersama orang kaya dan orang biasa. Kita lihat si kaya minum air kosong sahaja. Ditanya kenapa. Jawabnya, " Saya ada diabetis". Dia enggan makan kebanyakkan lauk -pauk yang telah dihidangkan, katanya, " Saya ada sakit jantung dan darah tinggi". Sementara yang biasa - biasa di sebelahnya, makan dengan enak tanpa sebarang pantang.

Akan bersambung pada siri akan datang.

Nantikannya...

Disediakan oleh :

Pen. Setiausaha 3
Dewan Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh

KENYATAAN ZAHID HAMIDI DISANGGAH


Kenyataan ini adalah respon kepada laporan laman akhbar bertarikh 27 Jun


“Nik Aziz digesa solat istikharah” yang memetik kata-kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi:

“Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak?"

UMNO semakin tersepit pada hari ini. Tidak cukup dengan kebiadapan Utusan Malaysia menyiarkan karikatur yang menggambarkan persepsi negatif terhadap Islam, pada hari ini kita membaca pula kenyataan Naib Presidennya yang menggesa supaya Pas melakukan solat istikharah dalam menangani isu seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.
Gesaan tersebut menyerlahkan lagi kejahilan beliau terhadap hukum feqah di dalam Islam. Solat istikharah tidak dilaksanakan untuk bertujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam isu ini, seseorang itu tidak dianggap bersalah melakukan kesalahan zina selagimana tidak didatangkan dengan empat orang saksi. Ini adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t secara jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Ianya merupakan kaedah keterangan yang dipegang di dalam Islam. Selagimana tidak di datangkan 4 orang saksi maka sesorang itu adalah tidak bersalah dan tidak melakukan zina. Tiada seorang Islam pun yang berhak untuk keluar daripada ketetapan Allah s.w.t ini.

Para alim ulama di dalam UMNO seharusnya menasihatkan pemimpin mereka supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan urusan agama sebelum masyarakat turut menjadi harubiru dek kerana kenyataan tersebut.


Dr. Khairuddin Aman Razali, 
Setiausaha Dewan Ulamak Pas Pusat



Dipetik daripada blog Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

GUNALAH MANA - MANA STADIUM : MB SELANGOR

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedia membenarkan Bersih 2.0 menggunakan mana-mana stadium di negeri ini untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini. 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kebenaran akan diberi jika ada permohonan daripada pihak berkenaan. 

Menurutnya, beliau sendiri tidak menghalang satu perhimpunan aman terutama dalam menentukan masa depan sistem pilihan raya di negara ini. 

“Jika NGO Bersih minta kebenaran saya untuk guna Stadium Shah Alam, saya akan setuju. 

“Tetapi mereka perlu jaga tata tertib dan disiplin sepanjang perhimpunan itu. Segala kerosakan, mereka perlu bertanggungjawab dan membayarnya,” katanya pada sidang media di sini. 

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia membenarkan perhimpunan Bersih tetapi ia mesti diadakan di stadium. 

Najib turut bersedia menyediakan satu stadium untuk kumpulan itu berhimpun bagi mengelakkan protes di jalanan. 

Kenyataan Najib disokong bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin. 

Menurut Khalid, sama ada ia dilakukan di stadium mahupun jalanan, isu penting adalah perhimpunan ini untuk menggesa sistem pilihan raya bersih dan adil. 

“Usaha NGO Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya yang adil dan bersih. Segala usaha ini sebagai peringatan kepada rakyat di negara ini agar tuntutan itu dilaksanakan di setiap pe�ring�kat. 

“Perhimpunan bukan untuk saya, tetapi untuk anak cucu kita pada masa akan datang. Anak muda kini juga mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan,” katanya. 

Khalid berkata, beliau menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung isu ini, dan menyerahkan kepada Bersih 2.0 untuk tindakan selanjutnya. 

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum ini, mengeluarkan titah khas berhubung perhimpunan Bersih, 9 Julai ini yang menggesa semua pihak mengadakan perbincangan secara berhemah.

WARNA KUNING PUN DEPA TAKUT : ADUN ANAK BUKIT

BAGAN DATOH : Pada 2 Julai 2011 ( Sabtu ), Pas Kawasan Bagan Datoh telah menganjurkan siri ceramah seterusnya yang menampilkan YB. Ir. Amiruddin b. Hamzah ( ADUN Anak Bukit ). Bertempat di Perkarangan Markaz Pas Pasang Api, Bagan Datoh berjaya menarik 150 orang hadirin untuk mendengar ceramah yang disampaikan.

" Apa yang mereka takut dengan warna kuning ? Bersih pun mereka tak suka ?" itulah persoalan dan kehairanan yang timbul dihati rakyat. 

Penceramah juga menegaskan bahawasanya Umno - BN amat takut apabila rakyat bangkit dan bangun menentang kezaliman dan pembohongan mereka selama ini. Suruhanjaya Pilihanraya ( SPR ) telah dipergunakan dan diperkudakan mereka untuk memastikan terus berkuasa. Pihak keselamatan juga digunakan habis - habisan bagi mempertahankan kuasa mereka.

" Malam ini juga ada syarat tertentu untuk saya ceramah. Ada perkataan dan isu yang tak boleh saya cakap. Saya pun tak faham. Tapi kita ucap terima kasih juga la kepada pihak polis yang meramaikan ceramah malam ini." itu ulas beliau mengenai syarat tertentu dan kehadiran pegawai polis yang ramai hadir dari kebiasaan ceramah - ceramah sebelum ini.

Beliau juga terkejut dengan suasana dan pembangunan di kawasan Bagan Datoh. Ujar beliau kemajuan dan pembangunan Bagan Datoh jauh tertinggal dibandingkan kawasan - kawasan lain yang diwakili wakil rakyat UMNO - BN yang lain.

" Saya tak sangka pekan ( Bagan Datoh ) macam ni. Buat malu je orang Bagan Datoh. Ahli Parlimen bukan calang - calang, Naib Presiden Umno, menteri pulak tu, dah lama jadi wakil rakyat, tapi apa jadi pekan Bagan Datoh? " demikian ulas beliau melihat rupa pekan dan kawasan yang diwakili seorang Menteri Pertahanan ( Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid b. Hamidi ).

Beliau menyeru supaya rakyat agar sedar dan segera membuat perubahan pada pilihanraya akan datang.

PEMUDA LANCAR BOIKOT UTUSAN MALAYSIA

BAGAN DATOH : " Demi maruah Islam yang telah dicemari oleh akhbar tidak bertamadun, kita boikot Utusan Malaysia." demikian laungan Dewan Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ). Pada 2 Julai 2011 bersamaan hari Sabtu telah diadakan pelancaran " Boikot Utusan Malaysia " oleh DPPK Bagan Datoh.

Tindakan tersebut dilakukan adalah disebabkan kebiadaban akhbar tersebut yang memaparkan kartun menghina undang -  undang Islam. Keratan itu menyatakan kekeliruan umat Islam terhadap isu tuduhan berzina dan rogol. Sedangkan perkara itu dipolitikan oleh pihak tertentu yang jahil dan " buta " hati terhadap kefahaman Islam yang sebenar.

" Kita akan boikot akhbar utusan ini, memandangkan kebiadabannya yang melampau." demikian jelas seorang Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh.

Pelancaran tersebut telah dilakukan oleh YB. Ir. Amiruddin b. Hamzah ( Adun Anak Bukit ) sempena kehadirannya bagi sesi ceramah umum di Kawasan Bagan Datoh.


Sabtu, 2 Julai 2011

TAZKIRAH : BIAR MISKIN HARTA JANGAN MISKIN JIWA

Siri 1 :

Ramai orang tidak dapat membezakan antara keseronokan dengan kebahagiaan atau ketenangan jiwa. Atau mungkin mereka tidak pernah menikmati kebahagiaan, sekalipun seringkali mengecapi keseronokan. Begitu ramai penghibur bertaraf lima bintang yang berjaya menjadikan ribuan peminatnya bersorakan gembira apabila melihat pertunjukannya, tetapi dia sendiri tidak bahagia. Maka tidak hairanlah jika ramai artis ternama terlibat dengan dadah dan hidup dalam tekanan.

Sesungguhnya keseronokan bukan semestinya kebahagiaan atau ketenangan jiwa. Sesiapa yang kita lihat Allah SWT tidak merezekikan kepadanya keseronokan atau kegembiraan tertentu, bukanlah bererti Allah SWT tidak memberikan kepadanya ketenangan jiwa.Maha luas kurniaan Allah SWT, betapa ramai orang yang kurang harta dan rupa, tetapi lebih bahagia daripada yang hartawan dan rupawan.

Bukan semestinya seorang raja, presiden, perdana menteri dan menteri itu lebih bahagia perasaan dan jiwannya dari seorang guru yang tidak dipagari pengawal, tidak dikenali ramai melainkan murid - muridnya yang masih mentah dan terpencil. Entah berapa ramai mereka yang berjawatan besar itu yang jatuh lebih serabut perasaan dan jiwa mengenangkan masa depan kedudukan, pengikut dan nasibnya.

Lebih daripada keserabutan ribuan manusia yang lain. Mungkin meja makan orang besar itu hebat, layanannya istimewanya, makanan mahal- mahal, tempat tidur enak, kenderaan mewah, sorak sorai untuknya meriah, tetapi kebahagiaan dan ketenangan jiwa belum tentu muncul di celahan itu semua.

Bahkan, berapa ramai manusia dalam dunia ini yang Allah SWT azabkan menerusi harta dan anak pinak mereka. Firman Allah SWT tentang golongan munafik : ( Maksudnya ) " Oleh itu janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak - anak mereka, ( kerana ) sesungguhnya Allah hanya mahu menyiksa mereka denga harta benda dan anak - anak itu dalam kehidupan dunia " ( Surah Al - Taubah : Ayat 55 ). Islam bukan memusuhi harta, tanpa harta bukan punca sebenar ketenangan jiwa. 

Ramai insan apabila tidak memahami kebesaran Allah SWT menyangka bahawa harta dan kuasa adalah segala - galanya. Lalu dia menganggap sesiapa yang tidak kaya raya dan berkuasa tidak mendapat kurnia kebahagiaan daripada tuhan. Seakan kurniaan tuhan itu hanya tertumpu kepada empunya kuasa dan harta. Anggapan ini teramat silap. Ya! harta dan kuasa boleh menjadi faktor yang membawa ketenangan dan kebahagiaan jiwa jika ia dikendalikan dengan betul. Namun, jika tidak ia boleh bertukar menjadi punca derita dan sengsara. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya yang tidak dapat tidur lena dalam istana mewahnya, ketika si miskin sedang berdengkur menikmati nikmat tidur dalam rumah usangnya. Entah berapa ramai pengusa atau si kaya yang tidak berselera makan di hadapan hidangan mewahnya ketika si miskin dengan begitu enak menikmati sebungkus nasi yang dibalut denga daun pisang. Maha Agung Allah SWT, Dia memberi kurnia nikmatnya dengan pelbagai cara dan tanpa diduga.


Wal Allahu A'lam

Akan bersambung dalam edisi akan datang - Siri 2



Disediakan oleh :

Pen. Setiausaha 3
Dewan Pemuda Pas KawasanBagan Datoh.

jambori amal kuala kangsar 2008