pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Ahad, 10 Julai 2011

NIK AZIZ SEDIH PEMIMPIN PR DITAHAN

Nik Aziz sedih pemimpin PR ditahan

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas sedih dengan penahanan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang kerana menyertai perhimpunan Bersih sambil menggesa mereka dibebaskan segera. 

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, penahanan yang dibuat terhadap mereka yang menyertai perhimpunan itu akan menambahkan kebencian rakyat kepada UMNO. 

“Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap polis. 

“Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui alat kawalan jauhnya dipegang Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga Presiden UMNO. 

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan dari Makkah, semalam. 

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai Presiden Pas dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu serta beberapa pimpinan tertinggi Pas dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus yang ditangkap polis kerana menyertai Bersih semalam ketika berada di Tanah Suci. 

Katanya, beliau akan meninggalkan Tanah Suci berkenaan selepas solat Asar dan bertawaf wida’. 

Menteri Besar Kelantan itu turut mempertikaikan perhimpunan itu kerana Datuk Seri Najib Tun Razak baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa sebarang halangan tetapi Bersih pula dihalang. 

“Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini (Bersih) hanya untuk mengumpulkan 300,000 orang dibalas dengan gari dan semburan gas. 

“Saya yakin, apa yang berlaku hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja,” katanya. 

Nik Abdul Aziz turut menyatakan keyakinan perjuangan menuntut keadilan itu pasti akan berjaya kerana UMNO pasti akan jatuh akhirnya kerana tentangan dan penindasan itu hanya tanda perjuangan keadilan akan berjaya. 

“Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan,” katanya.

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008