Himpunan Bersih 2.0 berjaya
KUALA LUMPUR - Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai kejayaan besar dengan 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, Bersih 2.0 memperoleh lebih sokongan daripada pelbagai kaum penyokong berbanding kempen pertama pada 2007 lalu.
“Saya tidak pernah melihat rakyat semua kaum bersatu kerana satu matlamat sebelum ini.
“Pihak berkuasa bertindak kasar dan tidak profesional. Saya nampak wanita ditolak sampai jatuh,” katanya di Hotel Midah, semalam.
Beliau yang turut sama pada perhimpunan itu dengan mengenakan kemeja-T berwarna kuning yang menjadi lambang Bersih 2.0.
Samad berkata, Bersih 2.0 akan cuba menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, namun tidak pasti bila.
Menurutnya, Bersih 2.0 tidak akan mengadakan lagi perhimpunan untuk menyerahkan memorandum.
Salah seorang Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Richard Yeoh turut menggesa penyokong Bersih 2.0 agar mengenakan pakaian kuning setiap Sabtu bagi menandakan pendirian mereka.
Yeoh berkata perjuangan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya masih belum berakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan