pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 2 Julai 2011

TAZKIRAH : BIAR MISKIN HARTA JANGAN MISKIN JIWA

Siri 1 :

Ramai orang tidak dapat membezakan antara keseronokan dengan kebahagiaan atau ketenangan jiwa. Atau mungkin mereka tidak pernah menikmati kebahagiaan, sekalipun seringkali mengecapi keseronokan. Begitu ramai penghibur bertaraf lima bintang yang berjaya menjadikan ribuan peminatnya bersorakan gembira apabila melihat pertunjukannya, tetapi dia sendiri tidak bahagia. Maka tidak hairanlah jika ramai artis ternama terlibat dengan dadah dan hidup dalam tekanan.

Sesungguhnya keseronokan bukan semestinya kebahagiaan atau ketenangan jiwa. Sesiapa yang kita lihat Allah SWT tidak merezekikan kepadanya keseronokan atau kegembiraan tertentu, bukanlah bererti Allah SWT tidak memberikan kepadanya ketenangan jiwa.Maha luas kurniaan Allah SWT, betapa ramai orang yang kurang harta dan rupa, tetapi lebih bahagia daripada yang hartawan dan rupawan.

Bukan semestinya seorang raja, presiden, perdana menteri dan menteri itu lebih bahagia perasaan dan jiwannya dari seorang guru yang tidak dipagari pengawal, tidak dikenali ramai melainkan murid - muridnya yang masih mentah dan terpencil. Entah berapa ramai mereka yang berjawatan besar itu yang jatuh lebih serabut perasaan dan jiwa mengenangkan masa depan kedudukan, pengikut dan nasibnya.

Lebih daripada keserabutan ribuan manusia yang lain. Mungkin meja makan orang besar itu hebat, layanannya istimewanya, makanan mahal- mahal, tempat tidur enak, kenderaan mewah, sorak sorai untuknya meriah, tetapi kebahagiaan dan ketenangan jiwa belum tentu muncul di celahan itu semua.

Bahkan, berapa ramai manusia dalam dunia ini yang Allah SWT azabkan menerusi harta dan anak pinak mereka. Firman Allah SWT tentang golongan munafik : ( Maksudnya ) " Oleh itu janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak - anak mereka, ( kerana ) sesungguhnya Allah hanya mahu menyiksa mereka denga harta benda dan anak - anak itu dalam kehidupan dunia " ( Surah Al - Taubah : Ayat 55 ). Islam bukan memusuhi harta, tanpa harta bukan punca sebenar ketenangan jiwa. 

Ramai insan apabila tidak memahami kebesaran Allah SWT menyangka bahawa harta dan kuasa adalah segala - galanya. Lalu dia menganggap sesiapa yang tidak kaya raya dan berkuasa tidak mendapat kurnia kebahagiaan daripada tuhan. Seakan kurniaan tuhan itu hanya tertumpu kepada empunya kuasa dan harta. Anggapan ini teramat silap. Ya! harta dan kuasa boleh menjadi faktor yang membawa ketenangan dan kebahagiaan jiwa jika ia dikendalikan dengan betul. Namun, jika tidak ia boleh bertukar menjadi punca derita dan sengsara. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya yang tidak dapat tidur lena dalam istana mewahnya, ketika si miskin sedang berdengkur menikmati nikmat tidur dalam rumah usangnya. Entah berapa ramai pengusa atau si kaya yang tidak berselera makan di hadapan hidangan mewahnya ketika si miskin dengan begitu enak menikmati sebungkus nasi yang dibalut denga daun pisang. Maha Agung Allah SWT, Dia memberi kurnia nikmatnya dengan pelbagai cara dan tanpa diduga.


Wal Allahu A'lam

Akan bersambung dalam edisi akan datang - Siri 2



Disediakan oleh :

Pen. Setiausaha 3
Dewan Pemuda Pas KawasanBagan Datoh.

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008