pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 31 Ogos 2012

HAYATI KEMERDEKAAN MENURUT ISLAM : PRESIDEN PAS

Perutusan Hari Kemerdekaan Presiden PAS

Oleh Presiden PAS

KETIKA umat Islam masih berada dalam kegembiraan meraikan bulan Syawal setelah sebulan melakukan ibadah berpuasa di Ramadan Al Mubarak, Malaysia pula berada di ambang menyambut kemerdekaan yang usianya sudah melebihi setengah abad.

Penting bagi kita umat Islam khususnya dan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami makna kemerdekaan menurut Islam sebagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, dan di zaman kegemilangan Islam.

Sebagaimana berkata Rub’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi bahawa kemerdekaan itu ialah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada pengabdian diri kepada Allah dan membebaskan manusia daripada kezaliman kepada keadilan Islam.

Rasulullah s.a.w meninggalkan sejarah Fathul Makkah yang berlaku di bulan Ramadan yang juga membawa erti kemerdekaan.

Walaupun yang memerintah Mekah itu merupakan anak jati Makkah, satu bangsa dan keturunan dengan Nabi, mereka hidup dengan penuh kezaliman dan penindasan. Maka peristiwa Fathul Makkah sebenarnya merupakan kesempatan memerdekakan Makkah daripada penjajahan sesama sendiri, akibat melakukan syirik kepada Allah dan berbuat kezaliman.

Di sini juga kita dapat membezakan di antara Islam dengan anutan lain baik agama atau ideologiideologi lain dalam mentakrifkan kemerdekaan dan penjajahan.

Islam tidak melakukan penjajahan, sebaliknya melakukan pembebasan atau kemerdekaan kepada penduduk sesebuah negara yang dimasuki. Bezanya dengan penjajahan, mereka masuk ke sesebuah negara untuk memperluaskan fahaman mereka yang syirik dan mengambil hasil bumi negara tersebut dibawa ke negara asal mereka.

Sedangkan Islam melarang hasil bumi sesebuah negara khususnya yang ditakluk dipindahkan ke negara lain selagi dalam negara tersebut masih ada orang yang miskin dan memerlukan.

Jadi tidak ada manamana negara yang dikuasai kerajaan Islam melakukan peras atau rampasan harta yang dipindah ke negara lain. Sebaliknya, rakyat diberi hak dan kebebasan dan dilayan secara adil termasuklah yang bukan beragama Islam.

Sebab itulah ada di kalangan bukan Islam yang pernah berada dalam negara diperintah Islam, sedia untuk berpindah ke negara Islam lain, apabila negara mereka tumbang kepada kuasa lain. Ini kerana mereka berasa selamat dan mendapat keadilan di bawah pemerintahan Islam.

Dalam konteks hari ini, kita difahamkan penjajahan itu semestinya dilakukan oleh kuasa luar, bangsa luar dari negara kita. Namun, jika diteliti erti kemerdekaan menurut Islam tersebut, jelas kepada kita bahawa orang-orang yang sebangsa dan berasal dari negara yang sama dengan kita juga berpotensi menjadi penjajah apabila mereka melakukan perhambaan kepada dunia dan berbuat kezaliman di dalam negara tersebut.

Kita sudah melihat di negara kita dan luar negara, bagaimana anak jati negara sendiri yang melakukan kezaliman dan penindasan sesama mereka, seolaholah tidak salah berbuat demikian kerana kita penduduk asal negara ini.

Tetapi Islam menggariskan dengan jelas bahawa kemerdekaan sesebuah negara itu berlaku apabila ia berjaya dibebaskan daripada perhambaan bentuk baru ini dan juga kezaliman yang mesti ditentang walaupun dilakukan oleh bangsa sendiri.

Umno yang menjadi teras pemerintahan negara hari ini, memenuhi syarat penjajah untuk memerintah dan mereka telah bertindak lebih setengah abad sebagai penjajah baru di kalangan anak bangsa, yang telah menyebabkan negara menuju kepada kemelut ekonomi, politik dan sosial yang parah.

Maka kerja utama rakyat Malaysia ketika ini ialah membebaskan negara daripada kekuasaan Umno- BN yang memerintah negara.

Semoga sambutan kemerdekaan ini memberi kefahaman bermakna kepada kita untuk meletakkan negara dalam keadaan bebas daripada belenggu kezaliman tersebut.

Selamat menyambut hari kemerdekaan dan sekalung penghargaan diberikan kepada waris-waris pejuang kemerdekaan negara seperti Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tokku Paloh, Mat Kilau dan ramai lagi.

Wallahualam.

TUAN GURU DATO' SERI HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008