‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ tema Merdeka Pakatan
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk memilih tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-55 menggantikan tema ‘Janji Ditepati’ oleh kerajaan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana di sini hari ini.
“Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus.
“Kami rumus dan ranumkan sehingga kami memilih “Sebangsa, Senegara, Sejiwa,” kata Pak Samad yang juga Sasterawan Negara.
Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ahli Jawatamnkuasa Bersih, Dr Toh Kin Woon dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.
Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah dan bekas Pengerusi Proham, Tan Sri Simon Sipaun
Menurut Pak Samad, tema itu menurutnya diambil daripada cadangan yang diilhamkan Alhaimi Adam yang diterima daripada jawatankuasa itu melalui emel bersama 250 cadangan lain.
Ditanya sama ada tema baru itu akan dicadangkan kepada kerajaan, Pak Samad berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mengambil tema baru itu atau sebaliknya.
“Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat,” ujarnya.
Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.
Ianya juga jauh berbeza dengan tema Janji Ditepati yang lebih mirip kempen politik Umno BN.
“Kita turut cadangkan logo dan lagu mesti serasi dan selari dengan tema yang dicadangkan. Kami akan hantar secara rasmi kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan