pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 10 Ogos 2012

TAK SALAH PAKAI BAJU BERSIH!


Bersih 2.0: Polis setuju pakai baju Bersih tak salah


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menyambung perbicaraan Kes Musafri bin Abdullah Azmi di dalam kes saman beliau terhadap Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan tiga yang lain kerana mendakwa penahanan beliau dan rampasan pihak Polis terhadap baju-baju beliau yang tertera “BERSIH 2.0 Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil” pada 24/6/2011 adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.


Beliau diwakili barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) iaitu Mohd Nazruddin Abdullah, Noorazmir Zakaria, dan Azizzul Shariman.

Perbicaraan adalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, iaitu Yang Arif Dato’ Hj Zainal Azman bin Ab Aziz.

Perbicaraan yang masuk hari kedua ini telah mendengar keterangan daripada tiga orang saksi daripada pihak Defendan-defendan yang merangkumi pegawai polis yang menangkap, pegawai polis yang merakamkan percakapan Musafri dan pegawai penyiasat bagi kes tangkapan Musafri tersebut.

ASP Mohd Amirul Anbalagan bin Abdullah, 41, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut ketika disoal oleh Peguam JUHAM mengakui dan bersetuju dengan cadangan Peguam JUHAM bahawa memiliki dan memakai baju BERSIH 2.0 adalah tidak salah. Malah, beliau kemudiannya bersetuju dengan cadangan yang dilontarkan oleh Peguam JUHAM bahawa tangkapan pihak polis terhadap Musafri bukanlah kerana Gabungan BERSIH 2.0 adalah satu pertubuhan haram.

Sebaliknya, ASP Mohd Amirul menyatakan hasil siasatan beliau menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan Musafri berniat untuk membuat perhimpunan tanpa permit di kawasan Musafri ditangkap pada malam tersebut iaitu di Bilik Gerakan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Padang Jawa (JKKK).

Korp Ruslee bin Mastam, 52, yang merupakan pegawai polis yang menangkap Musafri sebelum itu telah memberikan keterangan di Mahkamah bahawa beliau menangkap Musafri berdasarkan syak wasangka yang munasabah bahawa Plaintif akan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang ketika itu sedang diadakan di Uptown Seksyen 24 Shah Alam. Namun ketika disoal balas oleh Peguam JUHAM kemudiannya, Korp Ruslee menyatakan bahawa beliau tidak tahu penangkapan yang dibuat oleh beliau tersebut adalah berdasarkan kepada undang-undang apa dan apakah undang-undang yang digunakan untuk menyiasat Musafri.

Ketua Inspektor Zakiol bin Kaning, 35, yang merupakan Ketua Polis Balai Seksyen 15 Shah Alam sebelum itu turut memberikan keterangan di Mahkamah dan menyatakan bahawa beliau telah memberikan taklimat kepada anggota bawahan yang bertugas di Balai Seksyen 15 Shah Alam berkenaan “Ops Padam”; iaitu Operasi Pencegahan Perhimpunan BERSIH 2.0 untuk menangkap mana-mana orang atau pihak yang terlibat atau disyaki terlibat dalam perhimpunan di Uptown Seksyen 25 Shah Alam. Ketua Inspektor Zakiol kemudiannya ketika disoal balas oleh Peguam JUHAM mengakui bahawa arahan tangkapan tersebut tidak merangkumi tangkapan terhadap orang yang menjual dan mengedar baju BERSIH 2.0.

Mahkamah telah menetapkan para Peguam untuk memfailkan Hujahan mereka pada 18/9/2012 dan kemudiannya Mahkamah telah menetapkan tarikh 26/9/2012 untuk para Peguam membuat Hujahan Balas dan klarifikasi.

Mahkamah Tinggi pada 24/7/2012 yang lalu telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun 2011 bahawa Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.


*Penulis adalah Ketua Unit Media JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008