pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Rabu, 1 Ogos 2012

MASA UNTUK BALAS BUDI OLEH RAKYAT ?


AES: Janji Ditepati, ini masa balas budi


Utusan Malaysia Online bertarikh 31/07/2012 menyiarkan laporan bahawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri menyatakan Sitem Penguatkuasaan Automatik [AES] kini sedang dalam fasa ujian dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 12/08/2012 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengesan kesalahan memandu melebihi hadlaju dan melanggar isyarat lalulintas.
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] mengalu-alukan perlaksanaan apa saja bentuk penguatkuasaan undang-undang lalulintas yang bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalanraya keseluruhannya. Walau bagaimana pun KASE menegaskan bahawa apa jua bentuk penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalulintas, tujuan utamanya ialah untuk keselamatan pengguna dan bukannya berasaskan keuntungan kewangan yang akhirnya akan terus memberikan masalah kepada pengguna jalanraya dan seterusnya membebankan mereka dari segi ekonomi dan sebagainya.
Pengumuman mengejut perlaksanaan AES oleh Timbalan Menteri Pengangkutan semalam masih tidak menjawab beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini oleh KASE mahupun oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Ahli Parlimen samada di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara. Justeru KASE mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan berkaitan beberapa isu yang masih tidak dijawab secara telus dan terbuka.
Pertama: Siapakah pengendali kamera AES?
Tinjauan di dalam laman sesawang (website) Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] mendapati terdapat penerangan berbentuk “Soalan Lazim [FAQ]” telah dimuatnaik. Soalan nombor 7 – Agensi manakah yang akan bertanggungjawab terhadap perlaksanaan AES? Jawapan yang diberikan ialah Kementerian Pengangkutan sebagai tuanpunya manakala JPJ bertanggungjawab melaksanakan secara langsung dan merupakan “end user” kepada sistem AES. Miros bertanggungjawab dalam menentukan lokasi kamera manakala JKJR bertanggungjawab dalam advokasi dan kempen kesedaran.
Jawapan soalan 7 ini menyembunyikan beberapa perkara yang perlu diperjelaskan. Kenapa pihak Kementerian tidak menyebutkan dua (2) syarikat yang terlibat menyediakan perkhidmatan AES ini? Timbalan Menteri Pengangkutan semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 di Dewan Negara pada 17/07/2012 yang lalu menyatakan bahawa dua (2) syarikat iaitu Beta Tegap Sdn Bhd. dan ATES Sdn. Bhd. telah diberikan hak oleh Kerajaan untuk memasang dan menyediakan perkhidmatan AES kepada Kerajaan. Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd akan menggunakan teknologi RedFlex buatan Australia manakala ATES Sdn Bhd menggunakan teknologi Genoptik Robot dari Jerman. Persoalan yang perlu diperjelaskan oleh Kerajaan ialah berapakah nilai kontrak yang diperolehi oleh kedua-dua syarikat ini?
Melalui suatu kenyataan kepada Bursa Saham Australia bertarikh 19/12/2011, Redflex Traffic Systems Pty Ltd telah mengumumkan bahawa mereka telah memeterai suatu perjanjian untuk menyediakan 450 unit kamera statik, 140 kamera bergerak dan perkhidmatan susulan kepada Beta Tegap Sdn Bhd yang keseluruhannya bernilai $50 juta. Kontrak antara Redflex Traffic Systems Pty Ltd dengan Beta Tegap Sdn Bhd bernilai $50 juta, berapa pula nilai kontrak di antara Kerajaan dengan Beta Tegap Sdn Bhd? Bagaimana pula nilai kontrak di antara Kerajaan dengan ATES Sdn Bhd. Kerajaan perlu jelaskan perkara ini.
Perlu diambil perhatian bahawa kedua-dua syarikat ini akan mendapat pulangan hasil daripada kutipan saman yang dikeluarkan melalui AES. Pada September 2009 sebelum AES dimaktubkan di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, kedua-dua syarikat ini telah bersetuju dengan Kerajaan melalui suatu Modul Kewangan yang memperincikan kadar keuntungan yang akan mereka perolehi hasil perkhidmatan AES yang mereka sediakan. KASE berpendapat bahawa hasil Modul Kewangan inilah yang menjadi faktor utama Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda pada sesi Parlimen yang lepas dengan menetapkan kadar minima denda tidak kurang RM300 bagi kesalahan lalulintas. KASE sekali lagi memohon penjelasan pihak Kerajaan berkaitan perkara ini.
Kedua: Berapakah bilangan kamera yang terlibat di dalam AES dan di mana lokasi kamera dipasang?
AES melibatkan penggunaan kamera samada statik, bergerak (mobile) dan juga statik bergerak. Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Negara semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 pada 17/07/2012 yang lalu berkata sejumlah 1,093 unit kamera terdapat di dalam AES. Walau bagaimana pun melalui Soalan Lazim di nombor 10 yang dimuatnaik di laman JPJ menyatakan bahawa jumlah kamera ialah sebanyak 1,081 di mana 566 kamera untuk mengesan hadlaju, 265 kamera untuk lampu isyarat manakala 250 ialah kamera mudah alih. KASE memohon Kementerian perjelaskan perbezaan jawapan ini.
Pengumuman oleh Redflex Traffic Systems Pty Ltd bahawa mereka menyediakan 590 unit kamera kepada Beta Tegap Sdn Bhd justeru dapat disimpulkan bahawa kamera yang akan digunakan oleh ATES Sdn Bhd yang menggunakan teknologi Genoptik Robot ialah sebanyak samada 491 unit atau 601 unit. Jawapan Timbalan Menteri semasa di Dewan Negara ialah Beta Tegap Sdn Bhd akan memberikan perkhidmatan AES di zon selatan iaitu antara Kuala Lumpur ke Johor Bharu manakala Ates Sdn Bhd bagi zon utara daripada Kuala lumpur ke Perlis.
KASE mohon Kementerian menjelaskan kenapakah dua (2) syarikat ini perlu menggunakan dua (2) sistem yang berbeza dan kenapa Kerajaan tidak terus memasuki perjanjian dengan pembekal perkhidmatan tersebut tetapi melalui Beta Tegap Sdn bhd dan ATES Sdn Bhd?.
Seterusnya KASE memohon pihak Kementerian supaya menyiarkan lokasi di mana kamera-kamera tersebut dipasang di seluruh negara. Kerajaan menyatakan bahawa lokasi kamera bukan rahsia kerana akan diletakkan papan tanda amaran, justeru KASE mendesak Kerajaan supaya menyiarkan di dalam Akhbar Perdana samada Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, The New Straits Times dan akhbar-akhbar lain di manakah lokasi setiap kamera dipasang. Penyiaran lokasi kamera ini perlu dibuat sebelum penguatkuasaan AES dilaksanakan pada 12/08/2012 nanti sebagai amaran kepada pengguna jalanraya supaya lebih berhati-hati sesuai dengan pendapat Kerajaan bahawa perlaksanaan AES ini adalah untuk meningkatkan perasaan “perception of being caught”.
Ketiga: Apakah peranan PDRM di dalam AES.
Soalan Lazim nombor 8 menjawab bahawa PDRM akan menggunakan AES untuk mengesan jenayah dan tugas-tugas trafik malah kamera bergerak AES juga akan dikendalikan oleh PDRM dan juga JPJ. Persoalan yang timbul di sini ialah apakah status kamera-kamera yang dimiliki oleh Polis Cawangan Trafik yang kerapkali digunakan di dalam operasi hadlaju? Adakah semua kamera yang dimilik oleh PDRM tersebut tidak akan digunakan, dilupuskan atau diserap ke dalam AES? Adakah PDRM masih akan terus menggunakan kamera milik mereka dan jika perkara tersebut masih berlaku, adakah saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM masih sah sedangkan kesalahan lalulintas untuk memandu laju dan melanggar isyarat lampu isyarat tertakluk di bawah AES.
Keempat: Penerangan berkaitan peraturan dan undang-undang lalulintas.
Kementerian Pengangkutan meletakkan tanggungjawab khusus kepada Jabatan Keselamatan Jalanraya [JKJR] untuk advokasi dan kempen bagi memastikan pemahaman dan penerimaan rakyat. KASE mendesak Kementerian menyatakan sehingga pengumuman AES akan dilaksanakan pada 12/08/2012 berapa kalikah JKJR mengadakan siri kempen penerangan berkaitan AES kepada masyarakat khususnya pengguna jalanraya. Kementerian sendiri pula berapa kali telah diadakan siri ceramah penerangan atau hebahan di media berkaitan AES ini untuk makluman awam? Jika jawapannya negatif, KASE memohon supaya perlaksanaan AES ini ditangguhkan terlebih dahulu sehinggalah seluruh pengguna jalanraya diberikan maklumat yang berkaitan. Maklumat-maklumat ini juga sepatutnya dimasukkan di dalam sukatan pembelajaran di sekolah-sekolah memandu bagi menimbulkan kesedaran pengguna berkaitan pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya.
KASE tidak menolak setiap perlaksanaan peraturan dan undang-undang bagi tujuan keselamatan pengguna dan orang awam tetapi menyimpan hak untuk tidak bersetuju dengan beberapa perkara dan tindakan kerajaan dalam proses perlaksanaan peraturan dan undang-undang tersebut. Perlaksanaan peraturan dan undang-undang secara semberono demi keuntungan pihak-pihak tertentu adalah dikesali malah akan ditentang sehingga prinsip keadilan sejagat dipertahankan. Setiap orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Adakah janji untuk menyediakan perkhidmatan AES telah ditepati dan sekarang masa kerajaan membalas budi? Tepuk Dada Tanya Akal. Pandu Cermat Jiwa Selamat. Saman Kurang Kroni Kecundang.
Mahfuz ialah Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE]

Tiada ulasan:

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008