pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Sabtu, 1 Disember 2012

IKTIBAR PENTING UNTUK UMNO : KEJATUHAN KERAJAAN SABA'


Umno, ambillah iktibar kejatuhan kerajaan Saba’

Akademi Tarbiyah DPPM,28 Nov 2012
Kerajaan Saba' (Mamlakah Saba'), sebuah kerajaan manusia klasik yang teragung dan yang terbesar. Menurut satu riwayat kerajaan ini pernah menaungi semua kerajaan yang berada di semenanjung tanah Arab pada zaman lampau. Kerajaan ini mungkin saja berada di Ethiopia saat ini atau Yaman saat ini, atau bahkan kedua-duannya. Kerajaan Saba’ mempunyai pemerintahan yang bertahan selama ratusan tahun bermula pada tahun 950 SM sehingga 115 SM. Oleh sebab keagungan yang telah dilalui oleh mereka ini, maka kisah ini di rakamkan oleh Allah di dalam surah Saba' dan surah an Naml.

Firman Allah di dalam surah Saba':

"Sesungguhnya bagi penduduk Saba' di negeri mereka ada suatu ayat (tanda kekuasaan Allah) iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri, (dikatakan kepada mereka), Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepadanya, Inilah negeri yang baik dan tuhan yang pengampun." (Surah Saba': ayat 15)

Ayat ini adalah sebahagian daripada ayat di dalam surah Saba' yang menceritakan tentang kisah tamadun di zaman lampau yang menjadi kuasa besar di bahagian selatan semenanjung tanah Arab. Suatu kuasa yang telah melalui zaman pembinaan, zaman kegemilangan dan zaman kajatuhan. Ayat di atas menceritakan zaman kegemilangan kaum Saba', (kitab injil menyebut Sh'va - Sheba) yang bukan sahaja merupakan model sebuah negara yang kaya, bahkan merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada tuhan - Baldatun Toyyibatun wa Rabbul Ghafur -.

Kemajuan Kerajaan Saba' dan Kegemilangannya

Jikalau kita melihat di dalam kitab-kitab sejarah, seperti Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, maka kita dapati ketinggian Tamaddun Saba' ini mempunyai beberapa keistimewaan jika dibandingkan dengan tamadun Arab lain seperti kerajaan Himyar, Main, Qataban dan lain-lain. Keistimewaan ini adalah antara punca kerajaan Saba' mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi. Walaupun telah di gariskan banyak punca kecemerlangan, di sini saya kemukakan noktah yang paling penting yang menjadi punca kemajuan mereka, iaitu kemajuan mereka adalah kemajuan yang di dorong oleh aspek ketakwaan kepada Allah dan akidah yang tulen.

Maka dengan sebab inilah Saba' disifatkan sebagai negara yang makmur, dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah.

Jika kita mengkaji kitab sejarah, seperti Al-Kamil fi al-Tarikh, Al-Bidayah wa Al-Nihayah, dan juga kitab-kitab tafsir berkenaan dengan kisah ini, maka kita akan dapati bahawa zaman kegemilangan ini berpunca daripada perutusan Nabi Allah Sulaiman AS, yang telah menjadikan Ratu Balqis, Ratu yang memerintah Saba' sebagai seorang yang beriman kepada Allah Taala. Maka bermulalah zaman keagungan Saba'.

Maka kita percaya dan beriman tentang janji Allah Taala, iaitu; "Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami (Allah) akan tumpahkan keberkatan daripada langit dan keberkatan dari bumi, dan sebaliknya jika kebenaran itu didustakan, maka Allah akan menyeksa mereka di sebabkan perbuatannya itu." (Surah al A'raaf : ayat 96)

Tamadun Saba' pada Zaman Iman Menjadi Contoh Ikutan

Apakah kita tidak percaya pada janji Allah yang menjanjikan limpahan berkat daripada langit dan bumi, jika negara kita negara yang beriman? Apakah kita tidak yakin dengan janji ini sebagaimana orang bukan Islam tidak mengimaninya? atau kita lebih yakin kepada Barat yang merupakan tamadun yang tidak islam pada hari ini sebagai ikutan kita untuk mencapai tahap kemajuan?

Perbezaan antara tamadun Saba' dan tamadun Barat pada hari ini amat berbeza. Tamadun Barat pada hari ini hanyalah maju dari sudut ekonomi, teknologi dan ketenteraan sahaja. Tetapi Kerajaan Saba' bukan setakat itu, bahkan mendapat kemajuan dari sudut sosial di samping mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini.

Kemakmuran dan keberkatan ini kita dapat lihat, melalui kesenangan yang di rasai oleh penduduk mereka; sehinggakan perempuan yang melalui di bawah pohonan buah tidak perlu memetik dengan cara memanjat atau mangait buah-buahan yang berada di atas kepala mereka, tetapi cukup dengan menjunjung bakul di bawah pohonan tersebut, kerana buah-buahan akan masuk dengan sendirinya ke dalam bakul mereka sebagaimana yang telah di ceritakan oleh Qatadah.

Begitu juga perjalanan mereka yang berulang alik daripada Saba' dan Syam yang memakan jarak ribuan kilometer, sang musafir tidak memerlukan kepada bekalan dan tidak takut kepada ancaman perompak, penyamun dan seumpamanya sebagaimana yang telah diceritakan oleh Zamakhsyari. 

Apakah ini kita dapati ada pada tamadun sekarang, bahkan negara yang apabila semakin maju, maka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin ramai penjenayah yang rakus di dalam negara tersebut. Maka jika kita memandang dengan pandangan iman dan ilmu, maka kita dapat simpulkan bahawa tamadun Barat hari ini bukan lah merupakan tamadun yang sebenar kerana tidak merangkumi semua aspek kemajuan. Maka tidak perlu menjadi kebanggaan kepada kita dan negara kita sebagai ikutan.

Zaman Keruntuhan dan Kehancuran

Yang menjadi perhatian kita di dalam kisah ini ialah zaman keruntuhan kerajaan Saba'. Jika kita melihat ayat-ayat yang menceritakan tentang tamadun Saba', hanya terdapat dua ayat sahaja yang menceritakan tentang keagungan mereka, dan selebihnya ialah sebab-sebab kehancuran dan kejatuhan mereka. Antara sebab-sebab yang jelas yang di ceritakan oleh Allah Taala ialah kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang telah di kurniakan oleh-Nya sebagaimana firman-Nya :

"Kemudian mereka berpaling, lalu kami kirimkan kepada mereka banjir yang merobohkan bendungan dan kami tukar kedua kebun mereka dengan dua kebun lain yang mempunyai buah yang pahit dan pohon atsl (pohon kayu yang tidak berbuah) dan sedikit pohon sidr." (Surah Saba: ayat 16)

Atsl adalah pohon yang berakar kuat sehingga sukar dicabut. Adapun pohon Sidr adalah pohon yang tidak mengenyangkan untuk dimakan.

Apakah makna "...Kemudian mereka berpaling?" Adakah mereka tidak mengucap alhamdulillah? Atau tidak bertahmid? Bukan, bukan. Bahkan ulama' tafsir menyatakan mereka berpaling daripada mengikuti ajaran Rasul, yakni ajaran tauhid. Maka inilah di antara perkara yang punca dan penyebab kecelakaan sesuatu umat.

Kejatuhan kerajaan Firaun yang besar di tangan Nabi Musa, kerajaan Babylon di zaman Nabi Ibrahim, dan kerajaan Parsi dan Rom pada zaman Nabi Muhammad dan umatnya, tidak lain dan tidak bukan melainkan kerana mereka tidak mengikuti ajaran Para Nabi yang diutuskan kepada mereka. Maka apakah negara kita telah melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Nabi sehingga negara kita dianggap sebagai negara yang syukur dan tidak berpaling sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ayat ini?

Maka bersegeralah kita bermuhasabah. Sebagai orang beriman dan orang yang Muslim dan membaca al-Quran. Antara sebab kecelakaan sesuatu kaum Saba' ialah berlakunya monopoli, yang disifatkan sebagai sikap yang berpunca daripada pemerintah yang menyebabkan sesebuah negara hancur. Sikap inilah juga yang menjadi punca kepada keruntuhan kaum Saba'. Firman Allah Taala :

"(Maka kamakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata; Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain). Dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta Kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang Mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur." (Surah Saba': ayat 19)

Mereka berdoa selepas Allah memberikan kesenangan dengan memudahkan perjalanan daripada Yaman ke Syam sehingga orang-orang miskin dapat bermusafir dengan mudah. Tetapi ini perkara yang tidak disenangi oleh pembesar negeri sehinggakan mereka berharap supaya perjalanan dari yang mudah supaya dipayahkan, supaya golongan miskin tidak dapat ikut serta dan mengecapi kesenangan tersebut.

Atau dengan kata lain kesenangan dan kemewahan di dalam negara mahu dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu sahaja, sama ada berupa syarikat-syarikat besar di dalam negara atau projek-projek yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja tanpa mengambil kira golongan miskin : seperti tol, kenaikan minyak dan seumpamanya, serta yang terbaharu AES.

Maka ini adalah di antara sebab mengapa mereka dibinasakan. Dan Allah menyifatkan ini sebagai perbuatan yang menzalimi diri mereka sendiri. Negara kebajikan semakin lenyap. Negara perniagaan semakin terserlah. Sikap monopoli semakin berleluasa. Prinsip negara kebajikan yang dibina oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul semakin hilang. Model kerajaan kebajikan pada zaman Iskandar Zulkarnain terhakis.

"(Mereka berkata); Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka."

"Dia (Zulkarnain) menjawab; (kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu), oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (Surah al Kahfi: ayat 94-95)

"Negara kebajikan" yang diterangkan di dalam ayat ini menunjukkan Zulkarnain tidak menerima cukai yang hendak diberikan oleh rakyat, tetapi bantuan yang dipinta diberikan tanpa balasan. Raja yang beriman ini tidak memikirkan cara-cara memaksimumkan kemasukan hasil dalam negara, tetapi memikirkan bagaimana membantu rakyat dengan percuma supaya diakhirnya nanti mereka bersyukur kepada Allah Taala.

Jika pemimpin negara sentiasa memikirkan cara memaksimumkan kemasukan negara dan meminimumkan pengeluaran negara walaupun membebankan rakyat, maka negara ini dianggap sebagai "negara perniagaan" yang menjanjikan kegelapan dan kehancuran sebagaimana yang disebut oleh seorang tokoh sosiologi terkenal, iaitu Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya (hlmn.83), "Sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan (kepada rakyat) merupakan kemusnahan."

Kekayaan kerajaan yang hakikatnya menguntungkan sesetengah pihak dibina di atas keperitan rakyat. Bebanan tol, kenaikan minyak, AES dan barangan ditanggung oleh rakyat pertengahan dan miskin, dan dalam masa yang sama elaun pembesar-pembesar dinaikkan. Rumah-rumah rakyat diroboh demi kepentingan politik, kuasa dan niaga menjadi keutamaan, manakala dendam membutakan mata hati mereka sehingga tidak dapat menafikan hak rakyat yang sepatutnya dikongsikan secara adil dan saksama.

Sikap monopoli seperti inilah, akhirnya menyebabkan kaum saba' ditimpa banjir batu yang besar sebagai bala daripada Allah, seperti yang dinyatakan dalam ayat 16, Surah Saba’ di atas tadi.. 

Empangan raksasa yang menjadi mercu ketamadunan kerajaan Saba' rosak dan tidak dapat lagi menahan takungan air banjir dan hujan, terutama air bah yang disebut "Sailul Arim". Justeru itu mereka terus lemah dan akhirnya kerajaan Saba' ini telah digantikan dengan kerajaan Himyar atau Tubba' yang di sebut oleh Allah Taala : 

"(Mengapa mereka masih berdegil dalam kekufurannya?) Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum - Tubba' - dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa." (Surah Dukhaan : ayat 37)

Hakikat Kekayaan dan Konsep Syukur Yang Dituntut

Dua perkara yang menarik perhatian kita di dalam masalah ini iaitu sikap tidak mengikut ajaran keagamaan dan sikap monopoli di dalam sesebuah negara perlu menjadi pengajaran kepada kita semua sebagai seorang yang beriman kepada Allah. Kita sebagai seorang Islam yakin dengan janji yang telah Allah janjikan kepada kita tentang pengurniaan berkat di sebalik ketakwaan penduduk sesebuah negara, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al A'raaf ayat 96 (seperti di atas).

Maka kita dapat melihat kekayaan hanyalah dimiliki oleh negara yang beriman dan negara umat Islam sahaja. Emas hitam yang dikenali sebagai petrol hanya dimiliki di negara umat Islam dan tidak wujud di negara yang bukan Islam melainkan kadar yang sedikit sahaja. Maka, ini adalah nikmat yang perlu kita syukuri, dengan cara kita melaksanakan ajaran Allah, dan menjauhkan larangannya. Bersyukur dengan tidak memonopolinya dan tidak mengagihkan keuntungan tersebut kepada golongan yang tertentu sahaja.

Tidak mempolitikkan nikmat ini, sehingga golongan yang berhak menerimanya dipinggirkan, dan golongan yang telah "kenyang perut" mendapat habuan, sedangkan nikmat ini di kurniakan oleh Allah kepada golongan yang bertakwa, bukan golongan pemonopoli yang menjadikan wasilah politik sebagai medan ke arah ini. Kalau tidak kerana golongan pengislah wujud di dalam negara, nescaya negara itu telah dilanda bala bencana daripada Allah.

Firman Allah Taala :

"Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri." (Surah Hud: ayat 117)

Semoga matlamat dunia mendapat berkat dan matlamat akhirat tidak dilupakan.

http://tarbawi.my

Tiada ulasan:

Ruang Forum DPPK Bagan Datoh

jambori amal kuala kangsar 2008