pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 11 Jun 2015

KP : DEDIKASI KHAS BUAT TUAN GURU HJ. ABDUL HADI AWANG

DEDIKASI KHAS BUAT TUAN GURU ABDUL HADI

Oleh : Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Keputusan pemilihan bukanlah isyarat penolakan perwakilan kepada kepimpinan lama yang telah tewas, tetapi merupakan dedikasi khas buat Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya, muktamar kali ini telah membuktikan bahawa para perwakilan berdiri teguh bersama Presiden PAS itu dan Kepimpinan Ulama.

Akui beliau, sesama ahli PAS terdapat pelbagai perbezaan, tetapi lebih banyak memiliki persamaan di mana antara perkara yang disembunyikan Allah dengan hamba-Nya adalah berkait keikhlasan.

“Ketika kita berpecah belah, bermasalah, berselisih faham, jangan kacau soal ikhlas. Itu adalah antara kita dan Allah. Allah SWT murka pada sesiapa yang menganggap orang yang kita tidak suka itu tidak ikhlas berjuang. Jagalah keikhlasan masing-masing kerana keikhlasan kepada Allah tidak dapat disentuh walaupun oleh musuh.

“Kita berbeza bukan soal ikhlas, tapi berbeza soal mutabaah fi Rasulullah SAW. Lepas kita ikhlas, kita boleh berjalan menuju matlamat dan jalan yang kita pilih hendaklah jalan yang satu. Iaitulah jalan yang mendekati jalan digariskan oleh Rasulullah SAW. Jalan itu bukan jalan yang batin, jalan itu berada pada zahir.

“Maka di situlah masing-masing berusaha mendekati sunnah Nabi, siapa yang lebih tepat membawa bahtera Islam kepada hala tuju yang digariskan Rasulullah. Sebab itulah orang yang sebaik-baik mahu mendekatkan kita kepada sunnah Nabi SAW adalah para ulama.

“Para ulama ditaklifkan ditempat pertama untuk memikul amanah. Maka beri keyakinan pada saf baru tanpa mengatakan perkara tidak baik kepada mereka yang tidak memenangi pemilihan kali ini,” nasihatnya dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di sini, 6 Jun lalu.

Beliau turut bertegas bahawa Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mempertahankan Pakatan Rakyat dan terus berjuang dalam gabungan itu.

Ujarnya, pelbagai isu yang berlaku dalam Pakatan Rakyat tidak dianggap oleh Pemuda PAS sebagai isu kecil dan tidak juga isu besar.

“Kami Dewan Pemuda PAS Malaysia menikmati perselisihan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Dengan perselisihan ini yang berlaku selepas kita berkawan baik, kita boleh mengenal siapa kita dan kita boleh mengenal siapa rakan kita, PKR dan DAP.

“Sambil kita kenal mengenal itu, hendaklah kita susunkan ia dengan baik, maka itulah kita dapat melaksanakan tugas kita. Kita mengenal isteri kita bukan semasa dia senyum, tapi kita mengenal isteri kita masa dia menggunakan cakar dia ke atas kita. Jadi begitulah kita dalam Pakatan Rakyat,” ujarnya menyebabkan orang ramai di dalam stadium tertutup itu ketawa.

Katanya lagi, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan memberi fokus untuk menggerakkan anak muda melakukan perubahan politik baru yang lebih baik di bumi Malaysia dan melahirkan generasi pelapis daripada peringkat awal.

Pihaknya juga ujar beliau, akan membantu mengukuhkan kekuatan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) melalui penubuhkan lajnah khas iaitu Lajnah DHPP Muda.

Nik Abduh turut menyatakan komitmen Pemuda PAS untuk bergerak ke Pilihan Raya Negeri Sarawak dan menjadi barisan hadapan untuk melahirkan ‘anak sulung’ PAS Sarawak.

Pada kesempatan ucapan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Amal Malaysia yang banyak membantu dan memberi khidmat dalam gerak kerja parti.

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008