POLITIK TURKI ERA BARU DAN CABARAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas
Keputusan Pilihanraya Umum Turki beberapa hari yang lalu menyaksikan
AKP kekal sebagai parti utama pilihan rakyat Turki dengan 40.81 peratus
undi. Jika dibandingkan dengan parti-parti yang lain, AKP berjaya
mengekalkan dominasinya di Turki sejak 2002. Parti sekular CHP hanya
memperoleh 25.17 peratus, Parti nasionalis MHP memperoleh 16.5 peratus
manakala Parti sosialis demokrat HDP memperoleh 12.99 peratus.
Walaubagaimanapun keputusan tersebut juga merupakan satu tamparan kepada
AKP dalam menguasai denai politik Turki. AKP menjangkakan kemenangan
selesa dengan 330 perwakilan daripada 550 keseluruhan ahli parlimen bagi
membolehkan mereka melangkah setapak mengubah perlembagaan, memberikan
kuasa yang lebih kepada presiden. Sasaran itu bukan sahaja gagal dicapai
AKP, malah jumlah perwakilan yang akan dihantar AKP berkurang sehingga
256 orang sahaja berbanding pilihanraya umum 2011.
‘Kekalahan’
AKP disambut dengan ‘kemenangan’ golongan minoriti Kurdish yang
memberikan undi mereka kepada sebuah parti sosialis demokrat, HDP. Ini
dapat ditunjukkan dengan kekalahan AKP di bahagian Tenggara Turki yang
kebanyakannya didiami kelompok minoriti Kurdish itu. Di samping itu, AKP
juga tewas di kawasan yang didiami pelarian Syria seperti di Sanliurfa
dan Gaziantep.
Disebalik ketegasan Turki dibawah pemerintahan
AKP memperjuangkan isu-isu umat Islam dunia termasuk yang terbaru
melibatkan penindasan umat Islam Rohingya, pergolakan dalaman Turki dan
penentangan pihak musuh domestik merupakan sesuatu yang tidak dapat
dielakkan.
Protes anti-kerajaan yang dilancarkan pada 2013
memberikan kesan tidak langsung kepada pentadbiran Erdogen yang masih
memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu. Satu demi satu isu
dipalitkan kepada pentadbiran Erdogen di samping tindakan Erdogen yang
menghalang sebarang kritikan melalui media sosial tidak mampu meredakan
keadaan.
Penentangan kelompok sekular menggugat kestabilan
politik Turki. Ia membekas dalam lantunan pentadbiran AKP. Dari sudut
yang lain, keghairahan AKP membentangkan manifesto supaya mengubah
perlembagaan dengan memberikan kuasa yang lebih kepada presiden
menjadikan mereka semakin tidak disenangi. Tambahan pula, peristiwa
pengeboman yang berlaku dalam demontrasi kelompok Kurdish minggu lalu
menambah rencah kepada keputusan pilihanraya umum Turki.
Kini,
AKP berdepan cabaran baharu. Mereka bukan sahaja tidak dapat membentuk
kerajaan secara bersendirian, malah, perlu mencari parti-parti lain bagi
membentuk kerajaan campuran. Ramai penganalisis meletakkan parti MHP
sebagai “the capable one” untuk bergabung dengan AKP. Sama ada membentuk
kerajaan campuran atau sekadar kerajaan minoriti atau pilihan terakhir,
berdepan pilihanraya semula, ia masih meninggalkan persoalan besar
kepada masa depan politik di Turki.
Kestabilan politik perlu
segera dicapai pasca pilihanraya umum ini. Namun, melihatkan kepada
perkembangan semasa, ia tampak sukar. Tokoh parti HDP memberi signal
untuk berada dikalangan kelompok pembangkang daripada tunduk kepada AKP.
Ini mungkin membawa kepada faktor ketidakstabilan jangka panjang
politik Turki. Tidak mustahil ia juga akan memberi kesan kepada
kejatuhan matawang lira kelak.
Walaupun AKP bukanlah sebuah
parti yang menjadikan al Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum utama,
adalah baik untuk disebutkan keharusan hukum bagi AKP untuk membentuk
kerajaan campuran dengan mana-mana parti yang dapat menstabilkan
kedudukan politik negara Turki untuk terus memacu kebangkitan. Ia adalah
awlawiyyat yang penting untuk dilihat.
Kita berharap agar
kestabilan politik di Turki akan dicapai pasca pilihanraya ini. Cabaran
politik Turki memasuki fasa baru dan mencabar. Ancaman politik Turki ini
tidak mustahil mengundang campur tangan asing yang sentiasa mengintai
ruang dan peluang mengganggu gugat kebangkitan 'Turki Baru' selepas era
doktrinisasi panjang di zaman Ataturk.
Semoga Turki kekal
sebagai negara contoh kepada negara-negara umat Islam yang masih meniti
ranjau politik yang berliku dan seterusnya keluar daripada cengkaman
kediktatoran dan kezaliman sang penguasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan