pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 2 Jun 2015

MUKTAMAR KALI PERTAMA TANPA TGNA : PENGGANTI PARA TOK GURU !

PENGGANTI PARA TOK GURU

Menjelang muktamar ini, saya mula rindukan sosok kecil yang menjadi tunjang besar dalam PAS. Pemergian beliau sudah hampir setengah tahun. Inilah kali pertama kita bermuktamar tanpa kelibat Tok Guru Nik Aziz.

Saya rindu untuk menatap wajah beliau. Walaupun kebiasaannya memang beliau tidak berucap atas faktor keuzuran, kehadirannya sudah cukup menenangkan hati.

Indah sungguh pemandangan pentas itu, andai dapat melihat wajah jernih Ulama-ulama seperti Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Ayah Chik, Tok Guru Harun Din, Ust Harun Taib, Ust Abu Bakar Chik. Alangkah bahagia melihat mereka berbaris dalam satu saf sambil berdiri menyanyikan lagu tema PAS. Saya begitu rindukan mereka!

Tahun ini, hanya TGHH dan TGHD yang masih tinggal. Sedih yang teramat. Tapi saya tahu, mereka berdua lagi sedih mengenangkan sahabat-sahabat seperjuangan yang Allah panggil hampir serentak. Pemilihan lepas masih ada, kali ini sudah tiada. Pasti terbayang saat mereka bertegur sapa dan bergurau senda di pentas itu dua tahun lepas.

Bagi saya, ikon PAS betul-betul di zaman saya hanya TGHH dan TGNA. Kemana saja mereka pergi, PAS orang akan pandang mereka sebagai PAS dan apabila orang sebut PAS, pasti akan tergambar kedua tokoh ini. Yang lain tidak begitu dikenali dan ada tidak begitu menggambarkan imej PAS pada batang tubuh mereka.

Menatap wajah TGHH dan TGNA sangat memberi kesan buat sanubari saya. Saya kenal PAS sebagai gerakan Islam ketika ditarbiyah di Syria. Sebelum ini, saya hanya bersama PAS atas dasar parti politik.

Zaman remaja saya agak nakal dan suka hidup bebas dan mencuba bermacam-macam perkara. Sejak mula kenal PAS, saya akan menangis menatap gambar TGHH. Kerana wajahnya begitu tegas melambangkan sebuah ketegasan untuj berada dalam gerakan Islam. Raut wajahnya seolah menegur saya supaya meninggalkan segala kehidupan lama dan berikan sepenuh jiwa raga untuk Islam. Saya akan jadi takut, mula memikirkan amanah menegakkan Islam yang kini terpundak di bahu.

Apabila saya balik Malaysia, saya terus bersama PAS. Dan saya mula rasakan penat gerih berjuang di medan sebenar. Sangat menguji fizikal, mental dan spiritual. Orang baru seperti saya mudah goyah dengan sedikit kesukaran.

Namun apabila menatap wajah tenang TGNA pula, saya akan kembali tenang. Saya tahu dulu beliau juga berwajah tegas, tapi senyumannya tetap memukau. Hati saya jadi lapang. Asakan emosi hilang kembali. Berkatnya nur di wajah mereka.

Siapa pula akan ganti tempat mereka? Semuanya dalam pengetahuan Allah. Yang pasti semua akan pergi. Yang pasti juga akan ada tokoh baru yang sedang kini terbentuk dalam jemaah. Apabila tiba waktu yang sesuai, mereka akan bangkit dengan sendiri menyambut baton daripada tok-tok guru kita.

Che Ngah (isteri Ayah Chik) pernah bagitahu, bila dia tengok dan dengar Ust Nasruddin Tantawi ceramah, pasti dia teringat ceramah Ayah Chik di zaman mudanya. Gayanya, nadanya dan penampilannya saling tak tumpah seperti Ayah Chik.

Seorang anak Tok Guru Nik Aziz juga pernah bercerita, sewaktu isu Pasma sedang meletup, beberapa orang AJK Pasma Kelantan datang menghadap Tok Guru. Mereka mengadu bahawa Ust Nik Abduh kini sering keluar kenyataan-kenyataan 'bekeng' (garang) sesama PAS. Tujuannya supaya Tok Guru melarang anaknya berbuat demikian.

Jawab Tok Guru:
"Apa yang Nik Abduh kata, itulah yang saya kata. Nik Abduh itu fotostat saya!"

(Alang Ibn Shukrimun)

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008