pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Isnin, 1 Jun 2015

PILIHAN ANAK MUDA : SEKADAR CADANGAN...ANDA BAGAIMANA ?

Pemilihan PAS 2015: Siapa Pilihan Anak Muda Seperti Saya?
Jika saya seorang perwakilan, nescaya saya akan pilih orang-orang berikut;

Presiden: DSTG Haji Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden: Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
Naib Presiden: Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah, Ustaz Idris Ahmad dan Iskandar Samad.
Ketua Pemuda: Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.


Kenapa saya memilih mereka semua? Ini jawapannya;

1. Kerusi Presiden perlu dipegang oleh orang yang punya prinsip yang tegas dan sangat menjaga dasar parti. DSTG Haji Abdul Hadi Awang memang terbukti dalam hal ini. Lihat kepada beberapa kenyataan terbaru beliau yang dilihat tidak mahu tunduk kepada telunjuk dan kehendak rakan tahaluf PAS, iaitu DAP dan PKR.

2. Dalam isu Hudud, Pihak Berkuasa Tempatan, Langkah Kajang dan sebagainya, Tuan Guru Presiden sangat lantang dan tegas mempertahankan dasar perjuangan parti. Kita tidak mahu seolah-olah kita menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya disebabkan kita bertahaluf dalam PR.

3. Sebetulnya saya tidak mahu langsung menyentuh peribadi apatah lagi membuat serangan terhadap lawan TGHH di sini. Apapun, apa yang boleh saya coretkan di sini, bila membaca kenyataan Ustaz Ahmad Awang, pencabar kerusi Presiden, beliau dilihat akan tunduk dengan segala permintaan rakan tahaluf. Ini amatlah tidak sesuai dengan cita rasa akar umbi, apatah lagi PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

4. Dari sudut kemampuan dan pengalaman, pastilah TGHH mendahului pencabar beliau. Manakala dari sudut keilmuan, TGHH jauh meninggalkan pencabar beliau. TGHH punya platform mengajar secara tetap (seminggu sekali) di Rusila. Saya tidak tahu pula pencabarnya mengajar di mana setiap minggu sehingga melayakkan beliau digelar tuan guru (dekat dengan muktamar baru kedengaran). Harap selepas muktamar, panggilan tuan guru itu masih melekat pada beliau. Jangan sekadar digunakan untuk tujuan kempen semata-mata.

5. Terakhirnya pencapaian dari segi penampilan dan ketokohan di peringkat antarabangsa. TGHH merupakan Naib Presiden Kesatuan Ulama' Islam Sedunia. TGHH pernah menjadi tokoh pendamai antara Sunni-Syiah ketika berlaku pergolakan di Yaman. TGHH banyak terlibat di peringkat antarabangsa, sebagai wakil gerakan Islam di Malaysia untuk ke persidangan antarabangsa gerakan-gerakan Islam seluruh dunia. Adalah sangat tidak adil bagi saya apabila ada yang mengatakan beliau tidak punya visi dan misi unuk parti. Apakah tidak cukup track record beliau sepanjang memimpin parti selama 13 tahun?

6. Mengenai Ustaz Tuan Ibrahim pula, beliau dilihat sebagai seorang yang mu'tadil dan wasatiy. Beliau seringi muncul sebagai tokoh pendamai di dalam parti. Watak ini sangat penting demi kelansungan dan survival jemaah. Tulisan beliau di Facebook dibaca puluhan ribu orang, malah diminati oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

7. Ustaz Tuan seorang ulama' yang mesra ahli. Beliau seorang pemimpin masyarakat yang sangat mudah didekati. Setiap kali ceramah dan kuliah beliau selalu menyelitkan cerita-cerita yang berunsur motivasi dan terkadang sangat lucu. Beliau selalu bertindak sebagai motivator jemaah. Beliau punya ramai peminat di peringkat akar umbi. Sebagai calon popular, beliau dilihat mampu merampas kerusi Timbalan Presiden daripada penyandang asal, insya-Allah.

8. Mengenai tiga orang calon Naib Presiden yang menjadi pilihan saya pula, saya memilih mereka kerana pakej yang dimiliki oleh mereka. Dua orang daripada mereka adalah ulama' dan seorang lagi merupakan profesional. Sebuah gandingan yang mantap saya kira. Dengan kepaduan ulama' dan profesional, PAS akan mampu pergi lebih jauh dan punya harapan yang cerah untuk memerintah Malaysia.

9. Ustaz Nik Amar seorang yang kuat mendokong kepimpinan Tuan Guru Presiden dan selalu mempertahankan presiden, di kala orang lain sibuk mencerca dan memaki presiden. Kita memerlukan kepimpinan yang mempunyai kesatuan fikrah yang jelas dan saling menguatkan antara satu sama lain, bukan saling menjatuhkan. Dengan kelebihan sebagai seorang Timbalan Menteri Besar Kelantan, memberi harapan besar kepada beliau untuk menang.

10. Ustaz Idris Ahmad juga dilihat sebagai seorang yang mu'tadil dan wasatiy. Beliau juga dilihat sebagai tokoh pendamai jemaah. Beliau sering diberi amanah memegang portfolio tarbiyah PAS, ia adalah aspek penting dalam jemaah. Beliau seharusnya dipilih oleh perwakilan sebagai Naib Presiden. Manakala YB Iskandar Samad pula juga seorang yang kuat mempertahankan Presiden. Lihat saja dalam isu Langkah Kajang dan pertukaran MB Selangor baru-baru ini.

11. Kenapa saya memilih Ustaz Nik Abduh sebagai Ketua Pemuda? Kerana beliau lebih 'alim dan faqih. Apa yang disebut di dalam gagasan terbaru KP Suhaizan, Generasi Al-Helmy yang menggariskan tiga elemen utama iaitu Rabbani, Faqih dan Haraki itu sendiri sudah ada pada batang tubuh Ustaz Nik Abduh.

12. Sedikit komentar saya mengenai gagasan baru yang cuba diperkenalkan oleh Saudara Suhaizan itu, setelah "kegagalan" gagasan sebelumnya iaitu Politik Budiman dan Ruhama', gagasan yang cuba dibawa itu cukup baik, cuma janganlah sekadar untuk dibuat iklan semata-mata. Biarlah bersungguh sedikit dari sudut pelaksaannnya nanti. Jangan bagi nampak gah pada slogan saja.

13. Jangan jadi seperti satu pihak yang dulunya selalu menyebut ingin menjadi seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, tapi sekarang apa sudah jadi kepada beliau? Jangan nanti sampai digelar KP slogan. Slogan saja hebat, tetapi hasilnya tiada, zero. Sekadar teguran ikhlas daripada anak muda PAS.
Sekian. Saya mohon mencadang.

(Muhammad Nasih Ulwan Zakaria Attakiri)

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008