Pemuda Pas desak Menteri, KPN mohon maaf
MOHAMAD SUHAIMI
SHAH ALAM - Pemuda Pas mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memohon maaf secara terbuka kepada semua peserta perhimpunan Bersih 3.0, Sabtu lalu.
Timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, permohonan maaf ini adalah untuk memulihkan semula imej polis dan kerajaan yang didakwa tercalar ekoran kekacauan dan tindakan ganas anggota keselamatan pada hari tersebut.
Menurutnya lagi, dari laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jelas mendakwa polis bertindak di luar kawalan semasa mengendalikan perhimpunan Bersih 3.0.
“Bagi Dewan Pemuda, jika Suhakam turut menyuarakan rasa marah mereka terhadap polis menunjukkan sememangnya pihak polis tersalah tindak sewaktu mengendalikan Bersih 3.0.
“Ini kerana pihak Suhakam berada di tempat kejadian dan mereka menjadi saksi bagaimana rakyat yang tidak bersenjata diperlakukan seperti penjenayah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya lagi, sebagai suatu badan yang menjaga hak asasi manusia, Suhakam menyuarakan kesalahan besar polis yang melanggar hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara.
“Tidak sepatutnya polis bertindak di luar naluri kemanusiaan terhadap rakyat sendiri. Malah, menurut Suhakam, jika polis bertindak profesional dengan membenarkan perhimpunan dilangsungkan dalam keadaan aman, sudah tentu tidak akan berlaku apa-apa kejadian tidak diingini,” katanya.
Selain itu, Mohamad Suhaimi turut menegaskan polis dan Kementerian Dalam Negeri tidak boleh terlepas terhadap kejadian yang berlaku pada hari tersebut.
“Tidak ada alasan lain yang boleh diberikan polis bagi menafikan tindakan mereka. Dalam keadaan bukti yang banyak, sudah cukup untuk mengheret polis ke ‘kandang tertuduh’ untuk dihakimi,” katanya.