Ratusan aktivis menyertai mogok lapar 24 jam sebagai sokongan terhadap 300 tahanan di negara itu.
Ratusan aktivis menyertai mogok lapar 24 jam sebagai sokongan terhadap 300 tahanan di negara itu, kelmarin.
KAHERAH - Mogok lapar untuk menuntut hak dan keadilan yang diperjuangkan oleh tahanan Palestin kini telah merebak ke Mesir.

Seramai 141 individu di negara itu ditahan sejak dua minggu lalu, telah nekad mogok lapar kelmarin sebagai protes terhadap penahanan mereka dan kemungkinan untuk menghadapi dakwaan daripada pemerintah tentera.

Aktivis, Salma Abdel-Gelil berkata, kesemua tahanan itu akan meneruskan mogok lapar sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

“Mereka mahu dibebaskan dan tidak mahu dibicarakan di tribunal tentera. Lebih ramai tahanan akan menyertai mogok lapar selepas pusingan pertama pilihan raya presiden pada minggu ini,” menurutnya.

Mogok lapar tersebut turut disertai ratusan aktivis lain di luar penjara bersama salah seorang calon presiden, Khaled Ali yang juga menentang perbicaraan terhadap 300 tahanan itu.

Kumpulan aktivis tersebut turut menyatakan kebimbangan bahawa pemerintah tentera akan terus menggunakan tribunal tentera untuk membicarakan orang awam kerana ia didakwa menyekat perbezaan pendapat dan melanggar undang-undang antarabangsa.