Hollande Presiden baru Perancis
PARIS - Pemimpin Sosialis Francois Hollande muncul sebagai Presiden baru Perancis dengan memenangi pusingan kedua pemilihan yang berlangsung semalam - keputusan yang dijangka akan membawa kesan ke atas perkembangan politik dan ekonomi di Eropah.
Hollande yang memperoleh sekitar 52 peratus undi berkata, beliau bangga untuk menerajui negara itu.
Dalam kenyataan menerima kekalahan, penyandang jawatan, Nicolas Sarkozy pula mengucapkan "semoga berjaya" kepada Hollande.
Hollande mengisytiharkan kemenangannya sebagai "satu detik yang hebat bagi negara kita dan satu permulaan baru bagi Eropah."
Pemimpin itu menjanjikan kepimpinan bagi setiap rakyat Perancis.
"Ramai yang telah bertahun-tahun menantikan saat ini. Saya bangga kerana berpeluang untuk membawa semula harapan ini," kata beliau dalam ucapannya.
"Pada malam ini, tidak ada dua Perancis. Hanya ada satu Perancis, hanya satu negara yang bersatu, yang menuju hala tuju yang sama," kata Hollande.
Beliau muncul sebagai presiden sayap kiri pertama sejak Francois Mitterrand bersara pada 1995.
Selepas ucapan di Tulle, beliau menuju ke Paris untuk berucap di Bastille.
Dengan hampir kesemua kertas undi sudah selesai dikira, Hollande mendahului dengan menerima 51.6 undi manakala Sarkozy pula 48.4 peratus. Peratusan keluar mengundi 80 pertus.
Sarkozy dipilih sebagai Presiden Perancis pada 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan