Debar Sinar: Siapa PM, siapa Ketua Pembangkang?
SHAH ALAM - Antara Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli, siapa yang bakal jadi Perdana Menteri dan siapa pula yang akan jadi Ketua Pembangkang?
Soalan berbaur usikan itu disuarakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik yang juga moderator Debat Sinar yang mempertemukan dua tokoh politik muda itu di atas pentas Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, kelmarin.
Menurut Maszlee, keberanian dan kesanggupan Khairy dan Rafizi untuk bersemuka dan berdebat menunjukkan negara tidak ketandusan ahli politik muda yang berkualiti untuk membawa hala tuju politik yang baru, lebih matang dan bertamadun pada masa depan.
“Saya melihat dua tokoh muda ini berpotensi untuk jadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pada masa depan, tapi siapa Perdana Menteri dan siapa pula yang Ketua Pembangkang, itu kita tak tahu,” katanya yang mengundang ketawa para hadirin.
Ketika membuka debat itu, Maszlee turut menempelak tanggapan sesetengah pihak bahawa debat adalah budaya politik cara Barat yang tidak sesuai dengan senario tempatan.
“Ini penghinaan kepada daya intelektualiti rakyat Malaysia sedangkan di negara lain, Amerika Syarikat, United Kingdom malah Indonesia, ada debat antara calon Presiden setiap kali menjelang pilihan raya.
“Ini beri ruang kepada rakyat untuk mendapat maklumat yang cukup, membuat penilaian dan pilihan yang tepat mengenai siapa pemimpin yang patut mereka pilih,” katanya.
Menurutnya, debat adalah penghargaan kepada akal fikiran dan cara rakyat berfikir dalam usaha mewujudkan politik matang dan bertamadun.
“Debat hanya untuk pertahankan idea dan memastikan idea yang dilontarkan itu dicabar.
Bukan ‘satu suara’ seperti dalam ceramah. Ini adalah medium untuk didik rakyat di peringkat permulaan dan diharapkan ia akan jadi politik baru selepas ini,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Sinar Harian sentiasa terbuka menjadi platform kepada mana-mana ahli politik untuk berdebat bagi menyuarakan pandangan masing-masing.
“Sinar Harian setiap hari keluarkan berita semua pihak. Berpegang kepada slogan ‘telus dan tulus’, kami sedia anjurkan debat antara Najib dan Anwar. Apa yang penting adalah ‘gentlemen’,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan