pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Rabu, 16 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU..



Tahniah guru, jasamu tidak dilupakan

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan selamat Hari Guru bagi tahun 2012 kepada semua pendidik di negara ini.


“Syabas dan tahniah kepada para guru yang berterusan memberikan perkhidmatan dalam dunia pendidikan tanpa berasa lelah, jemu dan berputus asa bagi memastikan kecemerlangan akademik terhadap pelajar-pelajar setiap tahun,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, DPPM menyanjung tinggi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan pendidik dalam melahirkan generasi yang beriman, bertaqwa dan berharga dalam masyarakat.

Menurutnya, mereka umpama obor yang menerangi alam dengan ilmu dan hikmah yang mereka tebarkan.

“Tanpa mereka tiadalah semua golongan cendikiawan, cerdik pandai, pemimpin dan ahli politik hebat seperti sekarang. Sewajarnya peranan dan sumbangan mereka dimartabatkan setingginya,” katanya.

DPPM, ujarnya menekankan bahawa komitmen Pakatan Rakyat terhadap para pendidik amat tinggi dengan berusaha pembelaan yang sewajarnya kepada mereka.

Malahan, tambah beliau segala imbalan dari kerajaan pusat untuk guru-guru termasuk ura-ura tambahan tawaran oleh kerajaan sempena Sambutan Hari Guru adalah hasil daripada perjuangan PR melalui Buku Jingga.

Pakatan Rakyat juga, kata beliau lagi berusaha memastikan pendidikan percuma dinikmati oleh rakyat segenap peringkat dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat tertinggi.

“Adalah diharapkan, tiada seorang pun rakyat tercicir dari menerima pendidikan sebagai asas dalam kehidupan.

“Semoga para guru dan pendidik terus membimbing ummah sebagai insan teladan dan terpuji sepanjang zaman,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya DPPM mendoakan para pendidik sentiasa mendapat kemuliaan di sisi masyarakat dan mereka pula berusaha melipatgandakan dedikasi mereka dalam dunia pendidikan.

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008