JAKARTA - Ari Haryowibowo Hardjojudanto, cucu kepada bekas Presiden Indonesia Suharto, disyaki sebagai salah seorang daripada empat suspek menggelapkan wang 2.5 bilion Rupiah (RM837,000) daripada sebuah projek pengorekan tanah di negara itu, menurut polis, kelmarin.
Ketua polis unit jenayah, Helmy Santika berkata, Ari turut didakwa terlibat kes penipuan dengan melarikan dana milik syarikat Krakatau Wajatama selepas projek mereka dibubarkan.
“Dia masih belum tampil untuk disoal bagi membantu siasatan, walaupun surat perintah hadir telah diberikan pada Isnin lalu. Difahamkan, dia akan bekerjasama selepas kembali dari Singapura, minggu hadapan,” katanya.