obama-letupan
Serangan berani mati dengan kereta mengorbankan empat nyawa. (Gambar kecil) Kehadiran Obama ke Afghanistan tidak dialu-alukan.


















KABUL - Beberapa letupan besar berlaku sejurus selepas lawatan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Kabul, Afghanistan, semalam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Sadiq Sadiqi berkata, salah satu letupan melibatkan sebuah kereta membawa pembunuh berani mati, berlaku berhampiran jalan utama bandar raya berkenaan.

“Akibat letupan, empat orang di dalam sebuah kereta awam itu, maut termasuk seorang pejalan kaki dan seorang pengawal keselamatan yang berada di sebuah bangunan berhampiran,” katanya.

Bagaimana pun, kumpulan Taliban Afghanistan mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman berkereta dan disyaki mensasarkan kawasan perumahan Green Village yang dihuni penduduk negara Barat serta beberapa askar asing di bandar itu.

“Salah seorang ahli kami meletupkan keretanya di hadapan sebuah pangkalan tentera. Ahli yang lain sedang bergaduh di dalam pangkalan itu. Ini adalah mesej kepada Obama dan kuasa-kuasanya bahawa kehadiran mereka tidak pernah dialu-alukan di negara ini,” kata
jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi panggilan telefon kepada agensi berita tempatan.

Tambahnya, kumpulan militan itu akan terus melakukan serangan walaupun semua penduduk Afghanistan terbunuh atau meninggalkan negara itu.