Presiden Barack Obama
Presiden Barack Obama
WASHINGTON - Presiden Barack Obama, yang minggu lalu melancarkan kempen mempertahankan jawatannya buat penggal kedua, menjelaskan secara terbuka pendiriannya semalam - menyokong perkahwinan sama jantina.
Katanya, pasangan sama jantina wajar diberikan peluang untuk berkahwin.
Bercakap dalam temu bual bersama ABC News: "Adalah penting bagi saya melangkah ke depan dan menegaskan bahawa saya fikir pasangan sama jantina seharusnya boleh berkahwin."
Dengan pendirian itu, Obama muncul presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama menyokong perkahwinan di kalangan golongan gay.
Sebelum ini, Naib Presiden Joe Biden dan anggota Kabinet pentadbiran Obama, Arne Duncan juga ada melahirkan sokongan ke arah itu.
Laporan BBC menyebut, pungutan suara Gallup menunjukkan 50 peratus rakyat AS memihak kepada usaha menjadikan perkahwinan sama jantina sah di sisi undang-undang - paras sokongan yang sedikit rendah berbanding tahun lalu manakala 48 peratus menentang.
Laporan itu juga berkata, temu bual dengan ABC News diaturkan secara tergesa-gesa untuk Obama, yang berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat, untuk menjelaskan pendiriannya dalam isu ini.
Obama juga menekankan komitmen pentadbirannya memperbaiki hak bagi golongan gay.