Perjanjian dimeterai, tahanan Palestin henti mogok lapar
GAZA - Rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel semalam bersetuju untuk mengakhiri mogok lapar besar-besaran, yang dimulakan lebih dua bulan lalu, ekoran satu perjanjian dicapai.
Di bawah perjanjian itu, Israel dilaporkan bersetuju untuk tidak memperbaharui tahanan tanpa dakwaan.
Lebih 1,500 rakyat Palestin enggan makan sebagai protes menuntut rejim Yahudi memperbaiki keadaan mereka di penjara negara itu.
Kini lebih 4,800 rakyat Palestin ditahan di beberapa penjara Israel.
Protes itu mencetuskan kebimbangan bahawa rakyat Palestin akan membalas dendam jika mana-mana banduan mati di penjara.
Mereka mogok lapar sejak 77 hari lalu.
"Kesemua pihak menandatangani satu perjanjian," kata Qadura Fares, ketua Kelab Banduan Palestin kepada AFP, dipetik BBC.
Pihak Berkuasa Penjara Israel mengesahkan perjanjian telah dimeterai, yang diusahakan oleh Mesir dan Jordan.
Laporan agensi Reuters pula menyebut di bawah perjanjian itu Israel bersetuju untuk mengakhiri hukuman pengurungan berasingan yang dikenakan ke atas 19 tahanan dan menarik balik larangan lawatan yang dikenakan ke atas anggota keluarga tahanan yang tinggal di Genting Gaza, yang diperintah oleh Hamas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan