Khairy: SPR wajar daftar pemilih secara automatik
PUTRAJAYA - Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu penting kerana sebilangan besar rakyat masih tidak menunjukkan minat atau mengambil inisiatif untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih, meskipun pelbagai usaha telah diambil.
"Kita tidak boleh memaksa...jadi masalah ini tidak akan wujud sekiranya sistem pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum bertajuk 'Righs vs Security: To Strike A Balance' sempena seminar kebebasan berhimpun di sini hari ini.
Khairy berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pemilih.
Golongan ini masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini andainya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan selepas Ogos ini.
Khairy berkata, Pemuda Umno berjaya mendaftar seramai 150,000 pemilih baharu melalui pelbagai program di seluruh negara sehingga awal bulan ini.
Cadangan melaksanakan proses pendaftaran pemilih secara automatik telah beberapa kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak namum SPR belum bercadang untuk melaksanakannya.
SPR sebelum ini menjelaskan cadangan itu boleh menimbulkan beberapa kesulitan kepada pemilih itu ekoran sebahagian besar rakyat Malaysia pada masa ini tidak tinggal di alamat yang tercatat dalam kad pengenalan mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan