Stesen TV prokerajaan Syria dibom, 7 maut
DAMSYIK - Letupan bom ke atas stesen TV satelit prokerajaan Syria, al-Ikhbaria di sini semalam membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang, kebanyakannya wartawan.
Perkembangan itu muncul sehari selepas Presiden Bashar al-Assad mengisytiharkan bahawa negaranya kini berada di kancah perang dan mahu segala dasar dan usaha ditujukan ke arah matlamat untuk memenangi perang.
"Pengganas meletakkan bahan-bahan letupan di ibu pejabat al-Ikhbaria, dekat Damsyik, membunuh tiga wartawan," lapor Agensi Berita Arab Syria.
Penyerang juga menggeledah dan memusnahkan studio-studio di stesen itu.
"Mereka yang melakukan perkara ini tidak akan bebas tanpa dihukum," kata Menteri Penerangan, Amre al-Zoubi.
Perkembangan ini mencetuskan persoalan sama ada Syria sudah memasuki perang saudara sebagaimana didedahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) awal bulan ini.
Rejim Bashar mendakwa media asing berkonspirasi menentang negara itu dan al-Ikhbaria bertindak memerangi kempen jahat.
Bagaimanapun pemerhati melihat al-Ikhbaria sebagai alat propaganda kerajaan dan tidak mempedulikan tindakan ketenteraan ke atas rakyat awam yang mahukan kebebasan.
Sekurang-kurangnya 83 orang terbunuh di seluruh negara itu semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan