Sumpah Mursi kepada Mesir
KAHERAH - Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi bersumpah menjadi seorang pemimpin untuk semua rakyat dengan membawa transformasi berpaksikan ajaran Islam selepas memenangi pemilihan kerusi presiden di negara Arab yang paling ramai penduduknya susulan penggulingan Hosni Mubarak awal tahun lalu.
Mursi, pemimpin pertama Mesir yang dilantik sejak pemberontakan berdarah terhadap penyingkiran Mubarak, memenangi 51.73 peratus undi (13 juta undi) berbanding lawannya juga pernah menjadi perdana menteri semasa pemerintahan Mubarak iaitu Ahmed Shafiq, hanya mengaut 48.27 peratus undi.
"Saya berjanji menjadi seorang presiden untuk semua rakyat Mesir. Apa yang saya harapkan, kita semua dapat mengukuhkan perpaduan negara yang tercinta ini kerana perpaduanlah satu-satunya jalan keluar pergolakan yang sedang berlaku," katanya sejurus diisytiharkan memenangi pemilihan presiden kelmarin.
Mursi yang melepaskan jawatannya dari Ikhwanul Muslimin demi menggalas tugas sebagai presiden turut menyuarakan rasa terima kasih kepada pejuang atau rakyat yang terbunuh demi agama sehingga membuahkan hasil yang lumayan.
"Kita akan terus melaksanakan revolusi," katanya.
Jurutera berumur 60 tahun itu, turut berjanji akan menghormati perjanjian-perjanjian antarabangsa kerana Mesir adalah negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1979.
Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan