Presiden Bashar Al-Assad bagaimanapun, mendesak kerja-kerja pemulihan dilakukan segera bagi memulihkan masjid Umayyad yang dibina pada abad ke-12 itu.

Masjid Umayyad terletak di tengah-tengah Bandar Lama yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, kini rosak teruk apabila sebahagian besar bangunannya terbakar disebabkan pertempuran sejak dua minggu lalu.

Tentera kerajaan dilaporkan telah menjadikan masjid sebagai tempat persembunyian lebih sebulan sebelum pemberontak melancarkan serangan untuk menghalau mereka.

Kumpulan aktivis dan kerajaan Syria secara rasminya menyalahkan kedua-dua pihak disebabkan kemusnahan masjid Umayyad.

Sementara itu, penyokong pemberontak mendakwa tentera kerajaan telah merosakkan makam tokoh agama dengan imej grafiti dan lebih menyakitkan hati, apabila kumpulan tentera itu bertindak minum minuman keras di dalam masjid.

"Kini semuanya telah hangus," kata aktivis Mohammad Al-Hassan di tapak lokasi yang turut dikenali sebagai Masjid Besar yang satu-satunya rumah ibadat tertua dan terbesar di Syria.

Masjid Umayyad dibina di atas sebuah kawasan yang luas dan mengandungi makam-makam lama.

"Tentera kerajaan menjadikan masjid ini sebagai kubu mereka kerana lokasinya yang strategik di Bandar Lama.

"Mereka dengan sewenang-wenangnya membakar warisan negara kemudian mahu membinanya semula. Jadi kenapa pada permulaannya kamu memusnahkannya?" katanya sambil menyalahkan pimpinan Assad.

Pertempuran di antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontakan menyebabkan sebahagian besar bangunan dan kawasan bersejarah di Aleppo terjejas.

Menurut aktivis, lebih daripada 33,000 penduduk awam meninggal dunia sejak konflik tercetus pada Mac tahun lalu. -AP