Zahid serah kepada Peguam Negara isu peguam Perancis
Ahmad Zahid bersama murid Sekolah Agama Rakyat Al-Ulum Al Tarbiah Kampung Tanah Lalang, semalam.


















BAGAN DATOH - Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada Peguam Negara sama ada mahu menghalang atau membenarkan kehadiran peguam Perancis, William Bourdon, yang dilihat mempunyai kepentingan politik untuk pihak pembangkang.

Bourdon dijemput oleh pembangkang untuk memberikan taklimat berkenaan pembelian kapal selam Scorpene di Parlimen.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjemput peguam itu untuk kepentingan politiknya.

"Anwar memanggil peguam luar untuk memburukkan imej negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memegang jawatan Menteri Pertahanan, semasa pembelian kapal selam itu.

"Sebagai Menteri Pertahanan, saya akan terus mempertahankan pembelian kapal selam Scorpene kerana ia melibatkan spesifikasi dan harga yang telah dirundingkan," tegasnya.

Beliau menekankan, walaupun kedatangan peguam Perancis itu atas tujuan politik dan tiada kaitan dengan perundangan negara, ia tetap menggambarkan campur tangan pihak luar dalam hal ehwal dalaman negara ini.

"Ia merupakan cubaan merendahkan imej negara dan kredibiliti peguam dalam negara ini. Rakyat harus tolak campur tangan dari orang luar," katanya ketika ditemui selepas Temasya Sukan Sekolah Agama Rakyat Al-Ulum Al Tarbiah Kampung Tanah Lalang, di sini, semalam.

Ahmad Zahid menjelaskan, pembelian kapal selam itu dilakukan mengikut perundangan serta garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, Ketua Audit Negara telah mengemukakan laporan rasmi mengenai pembelian kapal selam berkenaan dan ia tidak harus dipertikaikan.

Menyentuh rayuan veteran angkatan tentera supaya kerajaan memberikan mereka elaun tetap RM500 sebulan, Ahmad Zahid berkata, ia terserah kepada budi bicara dan pertimbangan Perdana Menteri.

"Pemberian sagu hati RM1,000 yang dibentangkan pada Bajet 2013 harus diterima dengan penuh kesyukuran oleh pesara tentera. Pemberian itu adalah tanda penghargaan kerajaan kepada mereka yang berkhidmat dalam era darurat," katanya.