Penantian 5 tahun berakhir, Israel benar lawatan Palestin
SEKUMPULAN penduduk Palestin dari Gaza, kelmarin berkesempatan menghabiskan masa selama setengah jam melawat saudara-mara mereka di penjara Israel untuk pertama kali dalam tempoh lima tahun.
Jurucakap penjara Israel, Sivan Weizman mengesahkan lawatan bersejarah itu tidak mencetuskan sebarang insiden tidak diingini.
Lawatan keluarga itu adalah sebahagian daripada syarat perjanjian untuk menamatkan mogok lapar yang dipersetujui bersama wakil tahanan pada Mei lalu.
Difahamkan, jadual lawatan seterusnya dijangka disambung semula secara tetap dalam tempoh dua minggu lagi.
Kumpulan terdiri daripada 40 sanak saudara tahanan Palestin, berkumpul di ibu pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Bandar Gaza sejak awal pagi untuk menyertai rombongan tersebut.
ICRC adalah pihak yang bertanggungjawab menganjurkan lawatan pertama itu.
Wakil daripada ICRC turut mengiringi rombongan tersebut melintasi sempadan Erez untuk memasuki Israel.
Wajah mereka jelas memaparkan riak kegembiraan dan ada yang seakan tidak sabar untuk bertemu insan yang dirindui selama ini.
Perjalanan selama dua jam menuju ke penjara Ramun, selatan Israel itu dirasakan bagai terlalu lama.
Seorang daripada kumpulan rombongan itu adalah ibu kepada Mohammed Hamdiya.
Wanita tersebut tidak dapat menjelaskan perasaannya yang bercampur baur pada ketika itu.
“Setelah sekian lama, akhirnya saya dapat menatap wajah anak yang dirindu selama ini,” katanya.
Sementara itu, Fatima Nashbat juga melahirkan rasa teruja untuk bertemu suaminya selepas hampir enam tahun tidak bersua.
Dalam satu kenyataan, Ketua ICRC di wilayah Israel dan Palestin, Juan Pedro Schaerer turut menyambut baik perkembangan baru tersebut dan berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan.
“Sebelum ini, kami sudah berulang kali menuntut hak lawatan keluarga tahanan disambung semula.
Di bawah Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa, pihak berkuasa Israel mempunyai tanggungjawab untuk membenarkan keluarga tahanan melawat mereka.
Bagaimanapun, kerajaan Hamas melihat lawatan itu sebagai satu langkah tidak bernilai kerana rejim Zionis tidak memberi sebarang jaminan ia akan diteruskan memandangkan mereka masih gagal untuk memenuhi beberapa tuntutan tahanan yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kami mahu negara antarabangsa menggesa Israel supaya menghormati hak tahanan Palestin, sekali gus menamatkan sebarang bentuk penindasan ke atas mereka,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan