Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tempoh seminggu diberikan kepada kerajaan untuk menukar tema Hari Kemerdekaan kepada yang lebih inklusif.
“Jika kerajaan tidak mengendahkan desakan ini, Pakatan Rakyat sendiri akan mencadangkan tema lain yang lebih sesuai dan memberi gambaran terbaik untuk Hari Kemerdekaan,” kata Mustafa semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.
Tambah beliau, PR menghormati hak kerajaan bagi menentukan tema Hari Kemerdekaan tetapi pilihan itu mestilah sesuatu yang diterima oleh semua pihak.
“Kalau boleh biarlah gunakan tema yang boleh diterima seluruh rakyat Malaysia. Jangan bila orang tengok saja tema Janji Ditepati ini, mereka akan terus ingat kepada BN," kata Mustafa.

Laporan media semalam menyebut Pas Terengganu juga berkemungkinan tidak akan mengikuttema yang ditetapkan Kerajaan Pusat dalam program khusus Pas negeri jika Putrajaya terus menggunakan tema “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati” kali ini.

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tema tersebut dianggap sebagai kempen pilihan raya Umno dan BN serta tidak sesuai digunakan pihak lain, khususnya di negeri PR.
Sehubungan itu, Pas meminta agar menukar tema tersebut kepada yang lain kerana terlalu jelas memperlihatkan unsur politik, yang tidak patut dicampuradukkan dengan sambutan hari bersejarah itu.

Baru-baru ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut menyeru negeri ditadbir PR supaya tidak menggunakan tema Hari Kemerdekaan terbabit sebagaimana disiarkan.

Pada 19 Julai lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bukan satu kesalahan untuk menggunakan slogan Janji Ditepati sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan menunaikan janjinya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan gagasan 1Malaysia umpamanya telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Bidang Ekonomi Utama Negara.
Beliau berkata, Najib telah melunaskan konsep 1Malaysia dengan menterjemahkannya, antaranya dalam bentuk pengagihan buku, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Susu 1Malaysia, pembukaan Kedai Kain 1Malaysia yang dinikmati lapisan masyarakat termasuk penyokong parti pembangkang.
“Apabila kita buat sesuatu yang baik kita mengatakan komitmen kita sudah selesai, sudah dibuat, jadi tidak salah,” katanya.