BEIRUT - Penduduk perkampungan Treimsa, Syria menyuarakan ketakutan apabila diekori dari kediaman kemudian diburu tentera rejim Assad selepas mengharungi tempoh getir selama tujuh jam serangan tembakan yang meragut lebih 200 nyawa pada Khamis lalu.



Menurut kumpulan pemantau pertama yang sampai ke lokasi kejadian kelmarin, keseluruhan masyarakat kampung itu trauma sehingga sukar menceritakan semula pengalaman pahit mereka semasa diserang tentera Presiden Bashar Al-Assad secara tiba-tiba.

Pembunuhan beramai-ramai melibatkan kelompok masyarakat tani kecil di barat laut Hama itu digambarkan begitu kejam sejak pemberontakan berlaku di Syria.

Dua saksi yang ditemui kumpulan pemantau menyalahkan tentera kerajaan dan penyokong rejim kerana memusnahkan kawasan kediaman mereka sekali gus menyebabkan lebih ramai penduduk kehilangan orang tersayang.

"Kami tidak faham kenapa mereka (rejim Assad) menyerang kampung ini. Kami tidak membawa sebarang fahaman atau kerosakan di Syria. Apa yang kami buat hanya satu demonstrasi aman," kata seorang wanita tempatan, Umm Khaled.

Satu kenyataan yang disiarkan agensi berita tempatan melibatkan tragedi di Treimsa, menyalahkan serangan itu terhadap kumpulan pengganas yang dianggotai lebih 200 lelaki termasuk pemberontak luar Arab.

Agensi berkenaan turut mendedahkan senarai nama dan gambar empat lelaki yang didakwa mengetuai pembunuhan itu.

Dalam pada itu, pemantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang memasuki Treimsa dua hari selepas kejadian memberitahu, tentera Assad menyasarkan serangan ke atas kediaman tertentu khasnya rumah-rumah tentera dan beberapa aktivis yang berpaling tadah dengan pemimpin Assad.

Khamis lalu, lebih 200 penduduk perkampungan Treimsa terkorban apabila tentera Syria melancarkan serangan menggunakan kereta perisai dan helikopter.