Olimpik, atlet dan Ramadan
SEBAIK sahaja matahari terbenam, semalam, jutaan umat Islam di seluruh dunia memulakan ibadah puasa bagi melaksanakan Rukun Islam Ketiga.
Termasuk dalam jutaan manusia ini adalah lebih 3,000 atlet dan pegawai beragama Islam yang menyertai Sukan Olimpik London 2012, bermula 27 Julai ini.
Sepanjang tempoh itu, mereka berdepan cabaran mengimbangi tuntutan agama dan latihan sebagai seorang atlet.
Waktu siang di Britain yang lebih panjang iaitu kira-kira 17 jam setiap hari, ada kalanya menjadi penghalang bagi persediaan saat akhir, namun segelintir atlet menganggap ia bukan satu halangan atau bebanan kepada mereka.
Khaled Belabbas mewakili Algeria akan tetap berpuasa walaupun mengambil bahagian dalam acara lari berhalangan kerana baginya, agama lebih penting berbanding sukan.
Khaled berkata, puasa tidak jadi penghalang cuma mungkin dia akan berasa agak penat selepas melepasi garisan penamat.
Ada juga atlet memilih untuk tidak berpuasa, seperti dibenarkan agama.
Pendayung Britain, Mohamed Sbihi akan menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa bertanding di Sukan Olimpik, tetapi tetap membayar fidyah.
Atas nasihat seorang ulama dia akan mendermakan 60 bungkusan makanan kepada orang miskin di negara asal bapanya di Maghribi bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.
Pastinya, memperoleh pingat Olimpik adalah sesuatu yang sukar, tetapi apa yang mengagumkan, ada atlet menganggap memenangi pingat Olimpik semasa berpuasa tidaklah sesukar disangka. Suleiman Nyambui dari Tanzania memenangi pingat perak dalam acara 5,000 meter di Sukan Olimpik pada musim panas 1980 di Moscow semasa dia sedang berpuasa di bulan Ramadan.
“Apabila anda sudah memutuskan sesuatu, ALLAH SWT ada di belakang anda,” katanya yang kini menjadi setiausaha agung di sebuah persatuan atlet Tanzania.
Sama seperti pada 1980, Sukan Olimpik London pada musim panas kali ini turut jatuh pada bulan Ramadan yang bermula dari 27 Julai hingga 12 Ogos ini, iaitu kira-kira seminggu selepas umat Islam berpuasa.
Menariknya, ada juga atlet menganggap Ramadan mampu meningkatkan disiplin, fokus dan kerohanian mereka.
Kajian perubatan pula memberi penemuan berbeza, ada mengatakan berpuasa akan menjejaskan prestasi atlet, tetapi ada pula kajian mendapati puasa tidak memberi sebarang kesan kepada atlet. Bagi sesetengah pakar, kesan berpuasa kepada atlet bergantung kepada faktor luaran seperti cuaca dan masa.
Jika acara trek berlangsung pada sesi pagi, ianya menjadi lebih mudah buat atlet yang berpuasa, berbanding pada sebelah petang.
Apa pun, Islam sendiri membenarkan orang sakit dan musafir meninggalkan puasa serta menggantikannya pada masa lain.
Asas ini digunakan ulama Islam di Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk memberi pengecualian berpuasa terhadap atlet yang mewakili negara di Sukan Olimpik pada tahun ini.
Bagi orang ramai pula, meninggalkan puasa untuk menyertai Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan isu.
“Jika anda dipilih mewakili negara anda, itu adalah tanggungjawab besar. Untuk mengambil risiko kegagalan dengan memaksa diri berpuasa (sedangkan ada pengecualian), rasanya ia tidak selari dengan ajaran Islam sendiri.
“Pengecualian ini menunjukkan Islam tidak memaksa kita melakukan semua perkara secara maksimum, tetapi ianya lebih mengenai keseimbangan dan kesederhanaan,” menurut Zahed Amanullah, warga Islam Amerika Syarikat yang merancang membawa anaknya menyaksikan Olimpik tahun ini. – RNS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan