Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, timbalan menteri terbabit telah menerima dua keping cek masing-masing RM50,000 dan RM30,000 dan dikreditkan ke dalam akaun peribadi pada Disember 2010.

Pada 2007, kerajaan menubuhkan Skim Jejak Jaya Bumiputera - satu inisiatif meningkatkan ekuiti Bumiputera menerusi penyenaraian syarikat milik golongan itu di Bursa Malaysia.

Menurutnya, tujuan, status dan sumber cek yang dikeluarkan dan dikreditkan ke akaun timbalan menteri berkenaan menjadi tanda tanya dan keraguan terhadap Dewan Pemuda Pas Pusat dan masyarakat.

"Apakah tujuan cek yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut kepada (timbalan menteri berkenaan)?

"Tujuannya amat diragui dan adakah ia sah dari segi undang-undang?" kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu bertentangan dengan undang-undang, etika dan nilai integriti sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan.

"Kami tegas mahukan penjelasan daripada beliau. Apakah terdapat elemen rasuah?

"Dan untuk apa sejumlah wang yang besar ditunaikan ke akaun peribadi beliau pada masa yang sama?" katanya lagi.

Riduan berkata, timbalan menteri itu yang juga pemimpin kanan sebuah parti peringkat negeri perlu tampil membersihkan nama sekiranya beliau tidak terlibat dan menjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat melalui media.