KUALA LUMPUR: Polis membenarkan Himpunan Oren Selamatkan Felda dan perarakan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.
Penyerahan memorandum itu, untuk memohon Yang di-Pertuan Agong campurtangan berhubung isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).
Koodinator Gerakan Selamatkan Felda (GSF) Mazlan Aliman berkata, para peserta himpunan dibenarkan berarak bermula di perkarangan letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta sehingga 600 meter dari pintu 3 Istana Negara.
"Kita akan hantar lapan orang wakil daripada GSF untuk mengadap Agung esok, nama mereka kita akan umumkan esok. Kita akan diringi dengan kenderaan ke Istana," katanya kepada media di pintu masuk Balai Polis Kepong.
Mazlan berkata, perarakan yang dijangka sejauh 2.5 kilometer menuju ke Istana Negara akan dikawal serta diringi pihak polis dengan kerjasama 1000 anggota Unit Amal Malaysia.
Tambahnya, para perserta Himpunan Oren tidak dibenarkan menggunakan laluan utama sebaliknya menyusur ke tepi menghala ke Lembaga Peperiksaan kemudian menuju ke Segambut seterusnya ke pintu Istana Negara.
Mazlan berkata demikian, selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Daerah Sentul Zakaria Pagan dan Ketua Polis Daerah Brickfields Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid di Balai Polis Kepong hampir dua jam bermula 3.30 petang tadi.
Bagaimanapun Mazlan menyerahkan kepercayaan kepada pihak polis untuk mengawal sebarang provokasi yang akan timbul dalam perhimpunan itu nanti.
"Atas persetujuan hari ini, kalau ada unsur-unsur provokasi kami serahkan kepada polis, kami harap polis faham kenapa GSF mahu adakan himpunan esok," katanya.
Dalam perbincangan itu, Mazlan menegaskan Himpunan Oren harus diadakan sebagai isyarat kepada kerajaan dan melalui ini sahaja usaha yang ada selepas berbagai-bagai usaha yang telah dibuat sebelum ini, walaupun pihak polis pada awal enggan membenarkan berhimpun.
"Kita tekankan kepada polis, himpunan dan perarakan Oren ke Istana harus dilakukan supaya Agung dapat melihat puluhan ribu rakyatnya yang menolak FGVH, supaya pihak istana membuat pertimbangan terhadap FGVH," katanya.
Di peringkat ini, Mazlan mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak polis yang membenarkan Himpunan Oren esok, membenarkan media mendekati pintu Istana dan tidak membuat penutupan jalan-jalan utama ke Mahkamah Jalan Duta.
Turut bersama dalam perjumpaan itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Razman Zakaria dan Ajknya Nasaie Ismail serta Timbalan Pengarah 3 Unit Amal Malaysia Azmi Anuar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan