Pemuda Pas serah memo bantah konsert Erykah Badu
KUALA LUMPUR - Pemuda Pas desak kerajaan membatalkan konsert penyanyi 'Neo-Soul', Erykah Badu, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dijadualkan esok.
Setiausaha Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, desakan itu dibuat bagi mengelakkan kesan lebih buruk ke atas rakyat khususnya golongan muda berikutan penampilan penyanyi yang berasal dari Amerika Syarikat itu penuh dengan kontroversi.
“Kami khuatir imej penyanyi itu akan menjadi ikutan golongan muda beragama Islam, penampilan sebegitu tidak wajar diiktiraf di negara ini dengan kerajaan memberi kebenaran kepada artis itu mengadakan konsert,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada kementerian berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaim Abdul Aziz.
Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Abdul Rauf Puteh.
Katanya, kontroversi timbul apabila sebuah akhbar telah menggunakan gambar penyanyi itu yang memaparkan kalimah Allah pada kedua-dua bahagian bahunya.
“Kami menerima permohonan maaf akhbar berkenaan berhubung kesilapan tersebut, namun mereka harus lebih peka berhubung sensitiviti umat Islam. Jika konsert itu masih diteruskan, Pemuda Pas akan mengadakan program dakwah dan himpunan di kawasan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan