Halal jadi isu politik Perancis
PARIS - Pendedahan dokumentari televisyen bahawa pusat penyembelihan sekitar Paris menyembelih haiwan menggunakan kaedah dikatakan serupa seperti ajaran Islam mencetuskan perdebatan politik yang hebat di Perancis.
Stesen televisyen France 2 menyiarkan dokumentari itu, minggu lalu, yang menunjukkan semua pusat penyembelihan di kawasan Paris hanya menghasilkan daging yang disembelih dan bukan dimatikan menggunakan aliran elektrik.
Namun, kaedah itu dipercayai tetap tidak menepati peraturan Islam yang memerlukan penyembelihan dilakukan oleh orang Islam dengan bacaan Bismillah.
Pemimpin Perancis yang dilihat kurang pengetahuan mengenai kaedah sebenar penyembelihan dalam Islam pula segera menggunakan isu itu bagi menaikkan sentimen anti-Islam semasa berkempen untuk pilihan raya umum negara itu, April depan.
Calon presiden, Marine Le Pen dalam usaha merampas jawatan tertinggi negara itu daripada Presiden Nicolas Sarkozy, mengeluarkan kenyataan biadap dan bersifat perkauman berhubung isu itu.
“Semua pusat penyembelihan di Paris terpaksa tunduk kepada peraturan golongan minoriti (Islam). Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya sambil berjanji akan memfailkan perkara itu di mahkamah.
Daging haiwan yang disembelih semakin diminati di Perancis dan permintaan terhadap produk itu semakin meningkat terutama dari sekolah, hospital dan syarikat swasta.
Perancis adalah negara sekular dan kerajaan negara itu sebelum ini beberapa kali campur tangan bagi menghalang budaya Islam berkembang di negara itu, termasuk mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan