Tolak cadangan SPR
MARANG - Pas mengambil pendirian tegas menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu menghentikan amalan calon bertanding pada pilihan raya membawa kumpulan penyokong dalam jumlah besar pada hari penamaan calon.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengingatkan SPR supaya tidak sibuk merangka peraturan baru yang belum dibuktikan mengganggu proses pilihan raya, sedangkan lapan tuntutan rakyat terhadap proses pilihan raya yang lebih adil dan telus masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
“Sepatutnya SPR memberikan perhatian menghalang aktiviti merasuah dan mengugut pengundi oleh parti memegang tampuk kekuasaan selama lebih 50 tahun itu agar ia dihentikan segera,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang alasan munasabah diberikan untuk memansuhkan perarakan itu, khususnya dari sudut keselamatan seperti mana dicadangkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Selasa lalu.
“Perarakan semasa penamaan calon sudah dilaksanakan sejak sebelum merdeka dan ia telah menjadi sebahagian proses demokrasi pilihan raya negara ini.
“Pas ingin menegaskan pilihan raya bukan sekadar memangkah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen semata-mata, tetapi melibatkan seluruh proses demokrasi dan menunaikan hak rakyat untuk mendapat maklumat secara adil dan saksama,” katanya.
Abdul Aziz yang dipetik dari sebuah portal web berkata, perarakan mengiringi calon ke pusat penamaan calon sepatutnya dimansuhkan bagi memastikan suasana aman pada hari berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, berdasarkan pengalaman melibatkan 16 pilihan raya kecil sebelum ini, sikap penyokong semakin berubah dan sangat berbeza dan mereka dikatakan mampu bertindak di luar kawalan seperti membaling botol serta suka mencabar.
Selain itu Abdul Aziz berkata, peraturan menggantung bahan kempen juga akan diperkemaskan kerana menurut beliau tiada mana-mana negara membenarkan kain rentang atau bendera digantung di pokok atau bangunan awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan