RIDUAN MOHD NOR
SHAH ALAM -  Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dan tidak mewakili sentimen mana-mana pihak yang berkepentingan jika beliau benar-benar mahu menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, jika benar beliau mahu memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-Raja dengan menubuhkan Jati, Hasan mestilah ikhlas tanpa mengira latar belakang sasarannya.

Beliau berkata, jika tidak Hasan hanya dilihat sebagai ‘budak suruhan’ kepada pihak tertentu terutama kepada parti pemerintah jika hanya menjadikan Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpinnya sebagai sasaran kecaman beliau.

“Apa yang menghairankan, beliau hanya menyerang pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat (PR), sedangkan kemungkaran lebih besar ada pada kuasa pemimpin utama di negara ini.

“Kami kecewa kerana beliau hanya melihat kesalahan yang ada dalam Pas dan menuduh segelintir pemimpin Pas sebagai ‘parasit’ sedangkan beliau tidak boleh ‘bias’ kepada mana-mana pihak jika ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam serta bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Riduan, DPPM berpendapat Jati harus berdiri tegak atas platformnya sendiri dengan menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bebas dari kongkongan mana-mana parti politik tertentu.

Katanya, Hasan sebagai pengemudinya harus bertindak rasional dalam memperjuangkan Islam di negara ini dan tidak boleh memanjang sentimen isu pemecatannya kerana ia boleh dilihat sebagai agenda peribadi, bukan agenda umat Islam di negara ini.

“Jika betul beliau mahu memperjuangkan aqidah umat Islam, seharusnya Umno terlebih dahulu dan patut diserang kerana ditangan pemimpin merekalah aqidah umat tergoncang.

“Umno pemilik kuasa di negara ini telah memerintah berpuluh tahun dan mereka mempunyai kuasa dalam meluluskan Akta, Undang-Undang, dan penguatkuasaan di negara ini.

Sehubungan itu, DPPM menasihatkan Jati dan Hasan supaya jangan mengambil sikap ‘semut seberang lautan nampak, tetapi gajah didepan mata tidak kelihatan’ kerana khuatir gelagat beliau dalam perjuangan Jati hanya menjadi bahan gelak ketawa rakyat sahaja.