Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia akur dengan apa juga keputusan parti sama ada beliau akan dicalonkan semula atau tidak pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya ikut keputusan parti, tengoklah apa parti akan putuskan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat hari ini turut membincangkan isu kenyataannya sebelum ini bahawa beliau bersedia untuk tidak bertanding  pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Alasannya adalah untuk memberi peluang kepada muka baru selain membolehkannya memberi sepenuh tumpuan kepada tanggungjawab mentadbir parti.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan Sinar Harian bulan lalu.

Hasrat beliau untuk mengundur diri bagaimanapun ditolak oleh pemimpin Pas yang lain termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lajnah Politik yang menyatakan kepimpinan Abdul Hadi masih diperlukan.

Mengenai pilihan raya, Abdul Hadi menyatakan parti itu sudah bersiap sedia dan yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghadapi PRU13.

Ditanya mengenai kedudukan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan akan 'dihantar' pulang bertanding di negeri kelahirannya, Johor, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

"Belum ada keputusan lagi hal itu," katanya.